Isteri pendakwah bebas Dai' Farhan, Noorainul Naqim Mohd. Radzi mendakwa sekiranya tidak berkemampuan untuk membeli susu formula untuk anak sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ia boleh digantikan dengan air rebusan nasi.

Dakwa Noorainul, 40, atau lebih dikenali dengan panggilan Dr. Erin, air rebusan tersebut mempunyai banyak khasiat dan mampu membuatkan anak-anak berasa kenyang.

"Dalam keadaan gawat ni susu formula anak boleh dikurangkan dengan bagi air rebusan nasi.. Orang utara panggil air kanji..

"Banyak khasiat air rebusan nasi ni insya-Allah boleh kuatkan dan kenyangkan anak-anak.

"Paling penting kita sebagai mak ayah tak pening sangat risau anak-anak tak cukup susu.. Insya-Allah anak sihat cukup zat dan poket selamat..

"Bayi enam bulan ke atas dah boleh minum tambah madu sikit bagi manis sikit bagi budak lebih 12 bulan," kongsinya di Instagram (IG) miliknya.



Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mulai Rabu (18 Mac) hingga 14 April 2020, di seluruh negara.

Malaysia terpaksa akur selepas kes COVID-19 kini mencecah 2,766 orang dengan 43 rekod kematian.

Justeru, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan perkara yang boleh mencegah COVID-19!