Isteri Didakwa Hamil, MK K-Clique Pilih Masa Yang Sesuai Untuk Kongsi - “Saya Memilih Sebegini Sebab ia Terlalu Peribadi”
Asyikin Mayudin
22/04/2024 06:55 MYT
22/04/2024 06:55 MYT
Masih menjadi teka-teki, penyanyi rap dan pelakon, MK K-Clique, tidak menafikan mahupun mengiyakan andaian netizen yang mengatakan isterinya Siti Hajaar Syeikh Nordin kini sedang hamil.
Kongsi Waktu Sesuai
MK atau nama sebenarnya, Muhammad Hairi Amin Hamdan yang mendirikan rumah tangga dengan Situ Hajaar pada 15 Jun tahun lalu itu memilih untuk berkongsi pada masa yang sesuai.
“Saya akan kongsikan bila masa yang sesuai dan juga hasil dari persetujuan dengan dia (Siti Hajaar), InsyaAllah.
“Netizen pula macam-macam yang mereka cakap dan nampak tapi tidak salah sebab yang penting mereka mendoakan yang baik-baik. Saya mengharapkan doa.
“Saya tidak menafikan dan tidak mengiyakan. Saya tahu netizen akan nampak (baby bump) tapi bagi saya, nak cakap saya belum bersedia itu… tidak.
“Tapi ia adalah keputusan yang kami perlu ambil bersama-sama, untuk kongsi atau tidak. Kita perlu tahu kesannya bila kita kongsikan sesuatu perkara itu,” katanya kepada Gempak.
MK ditemui di majlis tayangan perdana filem arahan Datuk Awie iaitu Rebel: Berontak Untuk Berotak di TGV The Starling Mall, Petaling Jaya baru-baru ini.
Tak Kisah Andaian Netizen
Tambah MK, dia terbuka dengan andaian orang ramai dan tidak menyalahkan mana-mana pihak yang menyuarakan pendapat masing-masing.
“Andaian masing-masing dan andaian tidak salah. Tak kisahlah baik atau buruk, yang penting doa yang baik-baik.
“Saya memilih sebegini sebab benda ini terlalu peribadi. Saya pun macam orang lain, saya juga perlukan sedikit privasi. Jadi bila masanya tiba, kita akan kongsi.
“Tapi saya tidaklah sorok, sebab macam mana nak sorok,” katanya.
Bagaimanapun, ketika Gempak memohon untuk menemubual Siti Hajaar, MK menolak secara baik.
Terdahulu, netizen mula membuat spekulasi isteri kepada MK itu sedang hamil disebabkan ada penampakan ‘baby bump’ di foto mereka.