Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Isteri Didakwa Keguguran Kerana Kifarah, Da’i Syed Akan Ambil Tindakan Undang-Undang Terhadap Dua Wanita

Mya Amri
28/08/2023 07:40 MYT
Pendakwah selebriti, Da'i Syed menyatakan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap dua individu yang menyebarkan fitnah terhadap dirinya.

Menurut Syed, dia tidak boleh berdiam diri apabila dakwaan tersebut dikaitkan dengan keguguran yang dialami oleh isterinya, Nurul Hana.

“Apabila kenyataan awal itu diterbitkan semula dan dikaitkan dengan keguguran kandungan isteri saya, saya tidak boleh berdiam diri lagi kerana ini adalah sesuatu yang amat melampaui batas.

“Hal ini merupakan suatu fitnah terhadap saya. Dia juga dilihat seolah-olah cuba mengambil kesempatan di atas kesedihan yang dialami oleh saya dan isteri.

“Hal ini merupakan satu kenyataan salah yang sengaja diada-adakan. Sehubungan dengan itu, saya telah mengarahkan peguam saya untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Nurul Atiqah dalam kadar yang segera,” katanya.

Syed atau nama sebenarnya, Syed Shah Iqmal Syed Mohamad Shaiful ditemui dalam satu sidang media yang turut dihadiri isterinya, keluarga dan peguam, Syed Amirul Syed Edros bertempat di Hotel Eastin, Petaling Jaya pada Isnin.

Dalam pada masa yang sama, Syed juga akan memulakan tindakan undang-undang terhadap Ainun Najwa disebabkan fitnah yang telah diterbitkannya pada 23 November 2021.

“Sebelum ini, pada 26 November 2021, Ainun Najwa telah membuat satu laporan polis yang menyatakan bahawa dia mengakui bertanggungjawab sebagai individu yang memuat naik hantaran tersebut dan memohon maaf kerana telah memfitnah saya.

“Tetapi laporan polis yang dibuat olehnya sebelum ini tidak dapat menidakkan tindakannyq yang telah memfitnah saya malahan di dalam laporan yang sama, dia sendiri mengakui bertanggungjawab terhadap fitnah tersebut,” jelasnya.

Terdahulu, terdapat keratan berita mengenai kes rogol yang membabitkan seorang pendakwah bebas popular yang dimuat naik oleh wanita berkenaan.

Wanita yang mendakwa sebagai mangsa perkosa kepada pendakwah tersebut mengaitkan kehilangan anak dalam kandungan isteri pendakwah tersebut adalah kifarah atas perbuatan terkutuknya.

Untuk info, Da’i Syed pada 10 Disember 2020 mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap wanita berumur 22 tahun (ketika itu) dan menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa sama dengan maksud untuk mencabul kehormatannya di rumah sewa tertuduh di Damansara Perdana di sini, antara 3 hingga 4 pagi, 17 Okt 2020.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Bagi kes menggunakan kekerasan jenayah, pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

BACA: “Dia Mandikan Kita Dengan Air…” - Hana Ismail Syukur Da’i Syed Uruskan Proses Berpantang​

#Da'i Syed
;