Bekas peluma MotoGP negara, Hafizh Syahrin memohon doa peminat agar mendoakan isterinya, Noor Suzana Abdul Manaf yang positif Covid-19 diberi kesembuhan.

Hafizh memuat naik status di akaun media sosial miliknya berkata, sepatutnya hari ini Noor Suzana yang sedang sarat hamil anak sulung mereka, menjalani pemeriksaan kandungan berusia 37 minggu.

"Assalamualaikum guys, mohon doa untuk isteri saya yang baru positif Covid-19 dan mengandung 37 minggu. Semoga semuanya baik-baik untuk mummy dan baby. Esok patutnya baby check up (buat pemeriksaan)," katanya.

Jelas Hafizh yang akan beraksi di Kejohanan Superbike Dunia (WSBK) pada tahun ini, sebelum ini lima ujian Covid-19 yang dilakukan ke atas isterinya adalah negatif.

"Lima hari dan lima kali buat ujian negatif. Hari ini pergi swab positif pulak dan saya pula negatif.

"Terima kasih semua yang mendoakan isteri saya dan baby. Semoga Allah SWT membalas jasa baik budi anda semua. Amin," katanya.

Dalam hantaran di ruangan InstaStory, Hafizh turut memaklumkan keadaan terkini isterinya itu.

“Alhamdulillah, keadaan wife saya masih okay, oksigen dia semua masih stabil lagi. Baby okay, active like daddy,” katanya.

Hafizh dan Noor Suzana melangsungkan perkahwinan pada Disember 2017.