Hiburan
Isteri Hamil, Atu Zero Teringin Anak Lelaki
Pelawak Atu Zero mengaku teruja selepas mengetahui isterinya, Shafeeqa Johari disahkan hamil dan memohon para peminat mendoakan kandungan isterinya itu.
Atu atau nama sebenarnya Sharif Kuna Doli Sharif ketika dihubungi Astro Gempak berkata, usia kandungan isterinya baru berusia dua minggu.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dengan rezeki yang Allah beri kepada kami. Tidak tergambar perasaanini bila isteri beritahu dia hamil.
“Saya hampir menangis selepas dia beritahu ‘sudah berisi’. Macam tak percaya kerana saya bakal menjadi bapa tidak lama lagi,” katanya.
Tambah Atu lagi, sebelum hamil isterinya selalu mengadu penat menyebabkan dia risau dan memberitahu kepada ibunya tentang perkara tersebut.
“Saya telefon emak di kampung dan beritahu kepada dia tentang keadaan isteri saya, tapi saya hairan sebab emak saya ‘relax’ sahaja.
“Emak suruh saya bawa isteri ke klinik untuk menjalani pemeriksaan kerana katanya, isteri saya mungkin hamil,” ujar Atu teruja.
Selain itu, Atu turut berkongsi kegembiraan kerana abangnya, Syaiful bakal menimang cahaya mata sulungnya tidak lama lagi.
“Syaiful sedang ‘nervous’ menanti kehadiran anak sulungnya bersama isteri yang sedang sarat menunggu hari.
“Insya Allah, kalau ada rezeki anak saya dan Syaiful sebaya. Tapi, saya sebenarnya teringin nak anak lelaki sebab nanti dia boleh jadi abang yang akan menjadi pelindung kepada adik-adiknya,” katanya.
Terdahulu, Atu berkongsi rasa gembira di Instagram bersama gambar alat ujian kehamilan berserta kapsyen, “Salam semua. Alhamdulilah..Tadi biniku hantar gambar katanya sudah berisi. Doakan yang baik-baik ya,tujuan saya bukan nak ribut-ribut. Minta maaf ya semua , saya mahu berkongsi sahaja kalau salah maafkan.Tidak lama lagi jadi bapa sudah saya,”.
Atu dan juga isteri, Shafeeqa Johari telah selamat diijabkabul pada 8 Februari lalu dalam satu majlis meriah yang dihadiri keluarga dan juga rakan selebriti.