Isteri John Travolta Meninggal Dunia

Asraf Aided
Julai 14, 2020 03:49 MYT
Pelakon senior Hollywood, John Travolta dengan rasa dukacita memaklumkan isterinya, Kelly Preston telah meninggal dunia.
Kelly, 57, yang juga seorang pelakon itu menghembuskan nafas terakhir selepas dua tahun bertarung dengan kanser payudara.
Perkara itu dimaklumkan menerusi sebuah entri di akaun Instagram milik John semalam.
"Dengan rasa dukacita dan berat hati, saya ingin memaklumkan isteri saya telah tewas dalam pertarungannya dengan kanser payudara selama dua tahun.
"Dia telah bertarung dengan sokongan dari insan-insan tersayang, saya dan keluarga akan sentiasa berterima kasih kepada para doktor dan jururawat yang telah merawatnya di MD Anderson Cancer Center.
"Kehidupan dan kasih sayang Kelly akan sentiasa diingati, saya akan luangkan masa dengan anak-anak saya yang baru kehilangan ibu mereka," tulisnya.
Dalam pada itu, bintang filem From Paris With Love itu turut memohon maaf kepada orang ramai seandainya tidak mendengar khabar dari mereka buat seketika.
"Saya mahu memohon maaf seandainya anda tidak mendengar khabar dari kami buat seketika, tetapi saya mahu anda tahu, saya sangat hargai sokongan yang anda berikan sepanjang tempoh kami merawat kesedihan di hati," tulisnya lagi.
Entri tersebut telah menerima lebih seratus ribu komen dari para peminat yang turut berdukacita.
Terdahulu, John dan Kelly mendirikan rumah tangga pada tahun 1991.
Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata.
#Meninggal Dunia #Isteri #John Travolta