BERITA

Isteri Kru MH370 Kongsi Foto Terakhir Sambut Raya Bersama, Bersalin Anak Kedua Selepas 2 Bulan Tragedi - “Tarikh 8 Mac Sangat Berat”

Khairil Khusyairi 09/03/2025 | 18:50 MYT

Isteri kepada kru penerbangan Malaysia Airlines MH370, Mohd Hazrin Mohamed Hasnan, iaitu Intan Maizura Othaman meluahkan perasaan selepas 11 tahun kehilangan MH370.

8 Mac Bukan Hari Biasa

Menerusi hantaran di Instagram (IG), Intan menyifatkan tanggal 8 Mac setiap tahun adalah bukan hari biasa baginya.

"Tarikh ini (8 Mac) sangat berat, tetapi cinta saya terhadap kamu tidak pernah pudar.

“Dan awak, B (sayang) awak masih di sini, dalam setiap degupan jantung, dalam setiap memori, dalam setiap saat sunyi apabila saya menutup mata dan membisikkan nama awak.

“Saya sayang awak dan saya rindu awak setiap hari. Sehingga bertemu lagi, insya-Allah," coretnya penuh bermakna.

Pengalaman Lahirkan Bayi Selepas Tragedi

Dalam pada itu, ibu kepada dua cahaya mata itu turut berkongsi pengalaman melahirkan bayi kedua selepas dua bulan tragedi tersebut.
Malah, Intan turut berdepan cabaran apabila bayi kedua yang baru lahir itu mengalami masalah kekuningan dan terpaksa dipakaikan inkubator.

“Hanya dua bulan selepas tragedi itu, saya bersedia untuk pembedahan untuk Muhammad. Saya menghadiahkan senyuman paling manis sebelum dibawa ke dewan bedah. Tak pernah mengatakan ini mudah, tetapi saya mempercayai Allah.

“Tiada yang mudah, terdapat banyak cabaran dan isu. Air mata telah menjadi kawan baik saya. Tetapi hanya Allah, keluarga, dan kawan rapat yang tahu.

“Di sebalik semua ini, saya tidak mempunyai pilihan selain bertahan dan meneruskan,” tutupnya.

Dalam perkongsian lain, Intan turut berkongsi potret dia dan suami menyambut Hari Raya Aidilfitri terakhir bersama.
Pada 8 Mac 2014, pesawat Boeing 777 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing namun hilang daripada skrin radar dua jam selepas penerbangan.
Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat digerakkan secara besar-besaran oleh beberapa negara di kawasan berkeluasan jutaan kilometer persegi di selatan Lautan Hindi namun bangkai atau pesawat berkenaan gagal ditemui sehingga kini.

#Anak #KRU #Suami #Isteri #Raya #Hilang #MH370 #Mangsa #“Malaysia #Airlines”