Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Isteri Mangsa Penari Ditimpa Layar Gergasi Dakwa Suami Cuba Bantu Rakan, Ada Yang Berisiko Lumpuh

Maliah Surip
04/08/2022 14:50 MYT
Tragedi layar televisyen gergasi yang jatuh di pentas sewaktu kumpulan Mirror mengadakan konsert baru-baru ini masih menjadi tajuk utama media tempatan.

Susulan demi susulan kronologi mengenai insiden yang mengakibatkan dua penari latar iaitu Moo Lee Kai-yin dan Chang Tsz-fung cedera masih mendapat liputan.

Terkini, isteri kepada salah seorang mangsa iaitu Chang Tsz-fung menceritakan suaminya tertimpa layar tersebut selepas cuba menyelamatkan Lee. Dia membuat kenyataan selepas melihat banyak laporan tidak tepat mengenai insiden yang menimpa suami dan rakan penari lain.

"Chang tidak nampak layar LED itu ketika akan jatuh. Jadi dia berlari ke depan dan cuba membantu (Moo Lee Kai-yin) ketika insiden terjadi," kata isteri Chang dalam rakaman audio yang dipetik daripada South China Morning Post.

Tambah isteri Chang, selepas layar jatuh, dia cuba menahannya namun kerana ia terlalu berat jadi layar tersebut terus menghempapnya sebelum dia berjaya keluar separuh badan dengan cara merangkak untuk menyelamatkan diri.

Dia akhirnya diselamatkan kru lain dengan mengangkat layar 4x4 meter itu. Sayangnya Chang telah pengsan pada waktu itu. Lantaran insiden tersebut dia mengalami kecederaan pada kepala, pinggul dan paha selain luka pada beberapa bahagian badan lain.

Akibat kecederaan yang dialami, isterinya memberitahu Chang kini harus melakukan fisioterapi setiap hari dan menerima rawatan di CUHK Medical Centre, Hong Kong.

Sementara itu, keadaan Moo Lee Kai-yin, dikhabarkan berisiko lumpuh dari leher ke bawah selepas beberapa tulangnya patah. Sumber juga mendakwa Lee tidak dapat menggerakkan badannya selain mengalami kecederaan dalaman pada paru-paru.

Lee adalah penari pertama yang ditimpa layar gergasi yang jatuh selepas tali layar putus sewaktu mereka membuat persembahan di Hong Kong Coliseum, Hung Hom.
#Chang Tsz-fung #Mirrir #Moo Lee Kai-yin
;