Isteri kepada pempengaruh Ryan Bakery iaitu Elyia Ibrahim tidak dapat menahan rasa sebak sebaik sahaja suaminya diumumkan sebagai pemenang anugerah Digital Content Creator Tergempak.

Menurut Elyia, dia tidak dapat menahan air mata daripada mengalir kerana terkenangkan perit jerih perjalanan yang mereka laluinya sebelum berada di tahap itu.

“Saya cuba tahan diri untuk tidak menangis, tetapi air mata jatuh juga bila mengenangkan susah payah untuk dia meneruskan kerjaya sebagai pencipta kandungan.

“Memang sebak, namun saya bersyukur dengan kejayaan yang diraih suami,” kata Elyia kepada Gempak.

Elyia dan Ryan ditemui di Anugerah Gempak Most Wanted 2022 (GMW2022) di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shah Alam, pada Ahad.

Berkongsi kisah, Elyia memberitahu dia mengenali Ryan sejak enam tahun lalu ketika sama-sama memulakan kerjaya sebagai kakitangan sebuah syarikat penerbangan.

“Bagaimanapun, ketika pandemik pada 2020, nasib tidak menyebelahi Ryan apabila dia dibuang kerja. Tidak mungkin saya tinggalkan dia hanya kerana hilang kerja dan sedang susah.

“Jadi, apabila dia mahu mencuba nasib sebagai pencipta kandungan, saya sokong. Ketika itu, dia tiada duit, tetapi saya rela keluarkan modal.

“Apabila Ryan menang pada GMWA2022, saya tahu, kejayaan ini amat bermakna buat dirinya. Saya tumpang gembira untuk dia,” ujarnya.