Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Isteri Saya Stabil, Dia Tidak Ditidurkan…” - Suami Jasmin Hamid

Izwan Isa
01/06/2022 08:32 MYT
Pelakon Jasmin Hamid yang berada di Hospital Sungai Buloh, Selangor bagi mendapatkan rawatan jantung kini berada dalam keadaan stabil.

Suami Jasmin, Nazmir Abd Rahim berkata, isterinya kini sedang berehat selepas pihak hospital memberikannya rawatan sejak pelakon itu dimasukkan ke CCU semalam.

“Isteri saya stabil dan dia tidak ditidurkan. Dia sedang berehat di hospital selepas doktor memberikannya ubat cair darah.

“Doktor maklumkan yang isteri saya perlu berehat selama lima hari. Dari situ, baru diberi keputusan sama ada dia perlu berehat lagi boleh terus sambung kerja,” katanya kepada Gempak.

Bercerita lanjut, Nazmir berkata yang Jasmin mengalami rasa tidak sedap badan dan berpeluh yang banyak.

“Mula-mula dia mengadu tak sedap badan dan berpeluh dengan banyak. Kami ingatkan dia terkena serangan asma kerana dia memang ada masalah tersebut.

“Bagaimanapun, bila ke klinik, bacaan ECG menunjukkan yang dia mempunyai masalah jantung. Justeru dia terus dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Alhamdulillah, sekarang isteri sudah stabil dan berharap dia akan kembali seperti sedia kala. Harap doakan ya,” katanya lagi.

Terdahulu, Nazmir menerusi Instagram Jasmin memberitahu yang isterinya dimasukkan ke CCU akibat serangan jantung.

Untuk rekod, selain Jasmin, adik lelaki Jasmin dan juga arwah ibunya juga mempunyai masalah jantung.
#hospital #Jasmin Hamid #Sakit Jantung
;