HIBURAN
Isteri Shuib Kongsi Berita Sedih Mengalami Keguguran Di Hari Ibu - “Saya Dapat Petanda Dari Mimpi”
Isteri kepada pelawak dan usahawan terkenal, Watie berkongsi khabar sedih apabila dia mengalami keguguran ketika hamil anak pertamanya.
Menerusi perkongsian sebuah video di Instagram, Watie atau nama sebenarnya, Fati Nikmatul Adawiyah Hanifiah, 38, berkata situasi yang dialaminya itu seakan mimpi.
“Maaf kerana tidak menjaga kamu dengan baik saat kamu ada di dalam rahim saya. Maaf kerana tidak menghargai kehadiran kamu di saat saya lupa begitu senang dan baiknya Allah berikan kamu.
“Walhal saya sudah dapat petanda dari mimpi yang saya akan keguguran. Setiap masa saya fikirkan adakah mimpi itu akan menjadi kenyataan.
“Pada 11 Mei 2025, saya dapat berita kamu betul betul pergi tinggalkan saya,” tulisnya.
Meskipun reda dengan pemergian anak dalam kandunganya itu, Watie tetap meluahkan rasa bersyukur kerana diberikan kesempatan untuk merasa fasa ibu mengandung.
"Mungkin masih banyak yang perlu saya perlu pelajari sebelum kami lahir ke dunia ini.
"Saya reda walau ianya terasa perit untuk hadapi. Saya tetap bersyukur Allah titipkan kami walau hanya beberapa bulan yang indah," luahnya.
Sebelum ini, Watie dikhabarkan sedang hamilkan anak pertamanya selepas memuat naik gambar ketika menghadiri majlis perkahwinan Eyka Farhana dan Akhyar Rashid baru baru ini.
Untuk rekod Watie dan Shuib bernikah pada 23 Jun 2023.
Shuib memiliki empat orang cahaya mata hasil perkahwinan pertama dengan penyanyi Allahyarham Siti Sarah.