HIBURAN

Isteri Shuk Sahar Dedah Pernah Jadi Mangsa Keganasan Rumah Tangga - “Kau Sendiri Tahu Apa Kau Buat…”

Asyraf Roslan 14/03/2025 | 15:25 MYT

Kemelut rumah tangga antara pelawak Shuk Sahar dan isterinya, Fara Salleh semakin hangat apabila Fara mendakwa pernah menjadi mangsa keganasan rumah tangga.

Menerusi satu perkongsian di Instagram Story, Fara menegaskan bahawa dia pernah dipukul Shuk pada hari ulang tahun kelahiranya dan kejadian tersebut turut disaksikan oleh individu lain.

“Kau sendiri tahu apa kau buat. Nak nafikan sampai bila? Bukan tak ada saksi, bukti. Kawan kau dekat podcast sendiri saksi kau pernah pukul aku dekat rumah dia.

“Ada saksi yang nampak, masa 22 Oktober tu hari jadi saya, sebab berlaku di rumah orang,” katanya.
Selain itu, Fara turut mendakwa Shuk tidak menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami, terutama dari segi nafkah keluarga.
“Kalau kau tanggungjawab, mana kau? Dari 7/2 tak datang langsung jenguk atau selesaikan hal keluarga. Nak kata kene block, takkan lah tak tahu rumah mertua dekat mana.

“Terpaling tanggungjawab sampai kosong peti ais setiap kali dia pergi outstation dulu. Kitanya kena makan maggi berhari-hari. Duit pun tak ada masukkan.

“Alhamdulillah duduk rumah mak ayah, kenyang. Allah tahu segala apa kau buat. Nafilah Shuk, aku tuntut semua dekat akhirat. Kau berani sembang macam tu dalam Melodi, sucinya,” tambahnya.

Terdahulu, Fara memaklumkan telah memfailkan perceraian terhadap pelawak berkenaan pada awal Februari lalu.

Untuk rekod, Fara telah mendirikan rumah tangga bersama Shuk pada November 2023.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Nur Qurratu Ain, 9, dan Nur Assyifatu Aimi, 6.
#Shuk Sahar #Pukul Isteri #Fara Salleh #Dakwaan