Isteri Tampil Imej Berhijab, Instagram Nabil Ahmad & Zira Dihujani Doa Daripada Netizen

Azwa Rahman
Januari 15, 2021 04:13 MYT
Isteri kepada pelawak dan pengacara Nabil Ahmad, Zira Ayub mencuri tumpuan wargamaya apabila tampil dengan imej berhijab.
Menerusi laman sosial Instagram, Zira atau nama sebenarnya Nazirah Ayub, 32, berkongsi sebuah video TikTok yang dirakamkan bersama anak sulungnya, Naira Mikayla untuk tatapan umum.
“Sekali sekala, advance Mika! Dia tahu apa yang tengah in,” tulis Zira sebagai kapsyen.
Menerusi perkongsian itu, Zira kelihatan ayu mengenakan tudung selendang berwarna putih sambil membuat mimik muka comel bersama anaknya.
Hasil tinjauan Gempak, Zira dilihat memuat naik foto pertamanya memakai tudung pada tiga hari yang lalu.
Di ruangan komen, bekas pramugari AirAsia ini dihujani dengan pujian dan doa daripada wargamaya.
Ramai yang mendoakan agar Zira istiqamah serta dimurahkan rezeki berniaga.
“Harap teruskan bertudung,” komen seorang wargamaya.
“Tahniah Zira, cantik bertudung. Moga istiqamah dan bertambah rezeki, amin,” doa seorang wargamaya.
“Elok pakai tudung. Lepas ni berebut orang amik model tudung,” usik seorang wargamaya.
“Alhamdulillah kak Zira cantiknya, semoga istiqamah,” puji seorang wargamaya lagi.
Sekadar info, Nabil dan Zira mendirikan rumah tangga pada 2011.
Pasangan ini dikurniakan tiga orang zuriat perempuan, Naira Mikayla, 8, Layla Medyna, 5, dan Mishall Imani, 2 tahun.
#Nabil Ahmad #Zira Ayub #Selebriti berhijab