Isteri Tetak Suami Gara-Gara Pilih Nasi Ayam
Sambutan hari lahir bertukar tragedi di Wilayah Rayong, Thailand, apabila seorang wanita bertindak menetak kepala suaminya hanya kerana lelaki itu memilih untuk makan nasi ayam berbanding tomyam yang dimasaknya.
Kejadian berlaku pada 14 Mac apabila polis menerima laporan mengenai insiden keganasan rumah tangga di sebuah bilik sewa di komuniti Ban Sone Salung.
Ketika tiba di lokasi, pihak berkuasa menemui mangsa, seorang lelaki berusia 50 tahun dikenali sebagai Em, terbaring di lantai dengan kecederaan berdarah di kepala. Pasukan perubatan segera memberikan rawatan kecemasan sebelum membawanya ke hospital.
Menurut laporan Channel 7 Thailand, pergaduhan bermula apabila isterinya, Boonyanuch, 48, memasak tomyam untuk makan malam. Namun, suaminya menyatakan dia lebih suka makan nasi ayam, menyebabkan wanita itu berang.
“Boonyanuch mendakwa suaminya bertindak agresif dengan menarik buaian menangkap ketam dalam keadaan mengancam. Dalam usaha mempertahankan diri, dia mencapai sebilah pisau dan dalam pergelutan, pisau tersebut terkena kepala dan buku lali suaminya,”
Kejadian itu menggemparkan jiran yang segera campur tangan. Seorang saksi, Warin, 26, berkata, dia sedang duduk bersama mangsa di luar rumah sebelum pasangan itu masuk ke dalam.
Tidak lama selepas itu, dia mendengar jeritan dan bunyi kecoh dari dalam rumah mereka.
Setakat ini, polis masih belum mengambil tindakan terhadap Boonyanuch kerana insiden itu diklasifikasikan sebagai kes rumah tangga.
Namun, pihak berkuasa menunggu kenyataan rasmi daripada mangsa sama ada dia mahu mengambil tindakan undang-undang atau tidak.
Dalam keadaan panik, Boonyanuch dilaporkan telah membuang pisau yang digunakan dalam serangan itu, dan pihak berkuasa masih belum menemui senjata berkenaan.
Sumber: Sinar Harian