HIGHLIGHTS
Isteri Yang Pandai dan Rajin MASAK Itu Kebanyakannya Kreatif, Bijak dan Menyenangkan. Untunglah SUAMI Tu...
Gendang gendut tali kecapi, kenyang perut suka hati.
Peribahasa yang sangat tepat menggambarkan betapa hebatnya penangan makanan yang enak untuk mengenyangkan perut dan buat hati gembira. Siapa sahaja yang mampu rasa bahagia jika perut berkeroncong kelaparan? Dalam sebuah rumah juga, akan jadi sangat membahagiakan buat suami dan anak-anak jika dipenuhi dengan makanan-makanan yang sedap-sedap. Tidak perlu untuk ‘order’ dari luar yang tidak pasti kebersihan penyediaannya.
Dan, tugasan menyediakan juadah untuk seisi keluarga itu pastinya menjadi tugasan sukarela untuk seorang ibu. Suami dan anak-anak pastinya sentiasa suka untuk duduk rumah dan pulang segera ke sarang jika tahu ibunya sudah menanti dengan hidangan lazat daripada air tangannya sendiri. Itulah antara petua yang selalu para ibu kita dulu amalkan jika mahu menyatukan ahli keluarga walau sejauh mana anak-anaknya pergi.
Kalau dulu, seorang anak gadis yang tidak handal di dapur boleh menyebabkan ibu bapa mendapat malu. Seorang wanita yang tidak arif menguruskan hal ehwal dapur dianggap mengecewakan untuk seisi rumah. Namun, ia berbeza kini. Seorang wanita itu hanya dilihat hebat jika berpelajaran tinggi, bekerjaya cemerlang dan pandai berhias. Dan, bagi kebanyakan lelaki hari ini juga tidak kisah jika isteri tidak memasak kerana kini terhidang begitu banyak pilihan untuk mengenyangkan perut.
Jika tidak keluar mengadap restoran saban hari, diupah orang gaji untuk memasak di rumah. Atau pun, boleh sahaja order menerusi kemudahan dalam talian sahaja. Dalam setengah jam, apa saja yang mahu dimakan, sedia dihantar hingga ke pintu rumah. Namun, seperti kata arwah Mak saya dulu,
“Naik kembang tekak kalau hari-hari makan di luar. Lalu ke asyik makan orang masak?”
Kata Nenek pula, “Sebab tu budak sekarang degil. Makanan yang jadi darah dagingnya tak tahu datang dari mana, siapa yang menyediakannya...”