Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!

Istiadat Perkahwinan Diraja Tengku Muhammad Iskandar Dan Tengku Natasya Bermula 22 Oktober Ini

Khairil Khusyairi
08/10/2024 08:25 MYT
Istiadat perkahwinan Putera Sultan Pahang, Yang Amat Mulia Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah dengan Tengku Natasya Puteri Tengku Adnan dijadual bermula dengan Istiadat Meletak Kerja pada Selasa 22 Oktober 2024 di Istana Abdulaziz, Kuantan.

Berlangsung Tiga Hari

Kesultanan Pahang dalam satu kenyataan memaklumkan Istiadat Letak Kerja dimulakan dengan doa selamat dan majlis tahlil dengan seterusnya Istiadat Bernikah, Istiadat Berinai dan Istiadat Persandingan.

Pasangan Pengantin Diraja bakal dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan iaitu Datuk Seri Utama Dr Tengku Adnan Tengku Mansor pada 24 Oktober 2024 di Balai Mahkota, Istana Abdulaziz.

Seterusnya, istiadat akan diteruskan dengan Istiadat Berinai pada 25 Oktober 2024 dan Istiadat Persandingan Diraja pada 27 Oktober 2024.

Semua istiadat ini akan berlangsung di Istana Abdulaziz pada pukul 8.00 malam.

Istiadat Akad Nikah, Istiadat Berinai dan Istiadat Persandingan akan disiarkan secara langsung melalui dua buah layar besar yang disediakan di Dataran Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) dan sebuah layar di Dataran Muzium Diraja, Pekan, Pahang.

Pelbagai acara menarik akan diadakan di kedua-dua lokasi iaitu di Dataran MBK dan di Dataran Muzium Diraja sepanjang tarikh Istiadat Perkahwinan Putera Diraja berlangsung.

Istiadat Menutup Kerja Istiadat Perkahwinan Putera Diraja akan diadakan pada Isnin, 28 Oktober 2024.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah dan isteri Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut mencemar duli berangkat ke beberapa acara sempena istiadat perkahwinan itu antaranya Majlis Adat Midodareni atau Majlis Suai Kenal dan Majlis Siraman yang diadakan di Taman Duta, Kuala Lumpur.

Turut berangkat Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

Sebelum ini, Tunku Azizah berkenan berangkat ke Majlis Khatam al-Quran Tengku Natasya Puteri yang turut diadakan di ibu negara.

#Sultan Pahang #Istiadat Perkahwinan Diraja #Tengku Muhammad Iskandar #Tengku Natasya
;