Meskipun menghidap Cerebral Palsy atau lumpuh otak, namun seorang kanak-kanak dari Mataram, Indonesia dikurniakan kelebihan luar biasa di mana dia mampu menghafal 30 juzuk Al-Quran.

Bukan itu sahaja, Hafiz cilik dikenali sebagai Naja, 9 tahun, juga boleh meneka dan menyambung dengan tepat surah dari mana-mana ayat sehingga ke halaman berapa.

Di dalam fikiran peserta Hafidz Indonesia 2019 ini bagaikan terhampar setiap lembaran kalam Allah itu, lapor agensi berita Tribun News.

Menurut ibu Naja, Dahlia Andayani, anaknya itu dilahirkan seperti kanak-kanak normal lain dan pada awalnya dia dan suami tidak menyedari keadaan sebenar Naja.

Bagaimanapun doktor mengesahkan Naja menghidap kelumpuhan otak apabila perkembangannya tidak seperti bayi lain.

“Saya juga kagum dengan kemampuan Naja yang mampu menghafal kitab suci Al-Quran dengan cepat. Malah, saya juga belum pernah mengajarnya mengaji,” katanya.

Menerusi video dimuat naik di YouTube dan dan media sosial, Naja berjaya meneka surah dan membaca potongan ayat hanya berdasarkan muka surat yang diberikan salah seorang juri.

Kehebatan Naja membuatkan hakim dan semua orang yang berada di studio kagum hingga menitiskan air mata.

Sumber: Astro Awani / Sinar Harian