HIBURAN

Isu Busana Perkahwinan Didakwa Sama, Status Elfira Loy & Fiziwoo Raih Perhatian - “You Selebriti, I Orang Biasa-Biasa Je”

Umirah Halim 09/07/2025 | 09:25 MYT
Teka-teki mengenai isu persamaan rekaan busana perkahwinan antara, Ezlisa Loy dan Ally Mukhriz nampaknya terus berlarutan apabila netizen mula mengaitkan status yang dimuat naik oleh kakak Ezlisa, Elfira Loy dan pereka fesyen, Fiziwoo di platform Thread.

Menerusi satu status yang dimuat naik Elfira semalam, pelakon itu seolah-olah meluahkan rasa kesal terhadap sikap individu tertentu yang disifatkan sebagai ‘pembunuh kegembiraan’.

“What a joy killer. Patutlah kawan dengan…,” tulis Elfira di platform tersebut tanpa menyebut sebarang nama.

Kemudian, hari ini, pereka fesyen tersohor, Hafizi Woo (Fiziwoo) pula dilihat turut memuat naik beberapa status yang turut mencuri perhatian ramai.

“Sebab you celebrity? I orang biasa-biasa je,” tulisnya.

Malah, menerusi satu hantaran lain, Fiziwoo juga menekankan tentang kepentingan hubungan kepercayaan antara pengantin dan pereka dalam proses penghasilan busana perkahwinan.

“Merekabentuk busana perkahwinan sepatutnya menjadi perjalanan yang sakral dan tenang. Ia mencerminkan cinta, identiti serta kepercayaan antara pengantin dan pereka.

“Bukan sesuatu yang sepatutnya disertai dengan kebimbangan, penjelasan atau kawalan kerosakan. Jika anda perlu jelaskan naratifnya, mungkin cerita itu bukan milik anda sejak awal,” tulis Fiziwoo.

Untuk rekod, Ezlisa Loy mengenakan busana songket biru muda rekaan Samm Republic ketika majlis persandingannya, namun beberapa netizen mendakwa busana tersebut menyerupai rekaan yang pernah digayakan oleh Ally Mukhriz lima tahun lalu, hasil rekaan Fiziwoo.

Sementara itu, Ezlisa dalam kenyataannya memaklumkan bahawa inspirasi busananya sebenarnya datang daripada pereka antarabangsa dari Filipina, Michael Cinco.

Isu itu bagaimanapun terus menjadi bualan netizen selepas Fiziwoo turut memberi reaksi terhadap foto throwback hari perkahwinan Ally Mukhriz yang dimuat naik semula oleh pempengaruh itu di Instagram baru-baru ini.

“Masih menjadi rekaan yang paling saya banggakan. Penampilan yang sangat ikonik. Mereka masih cuba untuk menirunya selepas separuh dekad,” tulisnya.

#Kahwin #Fiziwoo #Baju #Elfira #Loy #Ezlisa Loy