VIRAL

Isu Dakwaan Terpilih Program National Geographic, Jurugambar Malaysia Mohon Maaf - “Saya Janji Akan Lebih Telus…”

Umirah Halim 19/08/2025 | 04:55 MYT
Jurugambar Malaysia, Tinesh Sritharan tampil membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kontroversi dakwaan dirinya dipilih menyertai program National Geographic Explorer.

Kontroversi tercetus selepas pihak National Geographic menafikan perkara tersebut dengan menyatakan surat pemilihan yang diterima Tinesh adalah “palsu” dan dia bukan sebahagian daripada program berkenaan.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial, Tinesh mengakui berlaku kekeliruan sehingga menimbulkan pelbagai persoalan.

“Sejak beberapa hari lalu, terdapat banyak tajuk berita dan perbincangan mengenai saya dan kerja saya. Sebahagian yang dikongsikan menimbulkan kekeliruan, dan saya faham kebimbangan yang timbul,” tulisnya.

Tinesh menjelaskan bahawa dia telah berangkat ke Kenya dengan harapan untuk menceritakan kisah bermakna, khususnya mengenai Taman Simpanan Maasai Mara. Katanya, dia melaburkan masa berbulan-bulan untuk membuat persiapan selain menggunakan tenaga, masa dan dana sendiri.

Walaupun dihimpit kontroversi, Tinesh menegaskan fokusnya kini adalah untuk menyiapkan projek dokumentari yang telah dirancang.

“Projek saya berjudul Echoes of the Savannah akan diteruskan di Kenya. Sama ada ada nama berprestij yang berdiri di sisi saya atau tidak, kisah-kisah itu tetap akan diceritakan,” katanya.

Tambahnya, pengalaman ini juga menjadi satu peringatan mengenai ketabahan dalam menghadapi cabaran.

“Saya bertanggungjawab sepenuhnya atas bahagian saya dalam isu ini, dan saya benar-benar memohon maaf kepada rakyat Malaysia, kepada penaja saya, dan kepada semua yang menyokong saya, atas kekecewaan dan kesulitan yang telah saya timbulkan,” ujarnya.

Menerusi kemas kini di Instagram Stories, Tinesh dilihat masih berada di Kenya bagi meneruskan projek tersebut.

Dalam masa sama, dia turut berjanji untuk lebih telus pada masa hadapan termasuk berkongsi kronologi penuh kejadian serta perincian penggunaan dana yang diterima.

“Saya percaya adalah penting untuk terus bertanggungjawab kepada mereka yang mempercayai saya,” jelasnya.

Tinesh menutup kenyataannya dengan ucapan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang masih berdiri teguh memberi sokongan.

“Terima kasih Malaysia kerana terus bersama saya. Keyakinan anda membuatkan saya terus melangkah ke hadapan,” katanya.

Terdahulu, isu ini timbul selepas laporan mendakwa Tinesh dipilih National Geographic bagi mendokumentasikan kisah masyarakat Maasai Mara, namun organisasi tersebut kemudian mengesahkan surat pemilihan berkenaan tidak sahih.

Sementara itu, MIC sebelum ini tampil mempertahankan Tinesh dengan menegaskan bahawa “penipuan terletak pada surat” dan bukannya pada jurugambar itu sendiri.

Buat masa ini, Tinesh berkata dia akan kekal komited untuk menyiapkan kisah yang ingin disampaikannya di Kenya.

#maaf #Jurugambar #National Geographic