Pelakon Zul Ariffin mengakui ada sesetengah pihak yang memandangnya dengan 'pandangan berbeza' selepas isu foto alat sulit tular di laman sosial.

Menafikan foto tersebut miliknya, akaun Instagram Zul telah digodam pihak yang tak bertanggungjawab dan aktor filem Tombiruo itu telah menukar kata laluan sebagai langkah berjaga-jaga.

"Saya akui ada yang memberikan pandangan yang nakal terhadap saya selepas isu tersebut hangat diperkatakan. Saya pergi kaunter drive-thru untuk membeli makanan pun, orang memberikan senyuman berbeza tetapi saya okay sahaja.

"Selepas kejadian tersebut, saya telah menukar kata laluan untuk langkah berjaga-jaga. Saya tak mahu situasi itu berulang kembali.

"Apa yang saya pelik, biar pun akaun saya telah mendapat pengesahan Instagram menerusi tanda 'blue verification tick', saya masih boleh menjadi mangsa penggodam," kata Zul.

Dalam pada itu, Zul turut mendedahkan ada tiga orang individu yang mempunyai kata laluan akaun Instagram miliknya.

"Mereka merupakan ahli kelab peminat saya yang dipercayai. Mereka memang ada kata laluan saya untuk langkah keselamatan.

"Namun begitu, saya tak rasa kejadian ini dilakukan oleh orang yang saya kenal, saya rapat atau pernah rapat. Saya malas untuk memanjangkan cerita kerana semuanya telah selesai.

"Apa yang penting, saya kena memastikan langkah berjaga-jaga telah diambil untuk mematikan usaha jahat penggodam di masa akan datang," katanya ketika dtemui di majlis pertunjukan fesyen Primavalet Raya 2018 malam tadi.

Dalam perkembangan lain, Zul baru sahaja tamat menjalani penggambaran filem Misteri Dilaila bersama Elizabeth Tan dan bakal memasuki set penggambaran filem Sangkar arahan Khabir Bhatia.

Teks oleh: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Zul