Hiburan
Isu Foto Lucah: "Saya Memang Nakal, Tapi...." - Ikmal Amry Syak Ada Pihak Cuba Jatuhkan Reputasi
Model dan pelakon Ikmal Amry menafikan dakwaan gambar lucah yang tersebar di Internet merupakan miliknya.
Tegas Ikmal, 25, foto itu jelas sekali telah disunting oleh pihak yang tidak bertanggungjawab yang cuba untuk menjatuhkannya sejak beberapa tahun lalu.
"Ya, saya menafikan gambar itu kepunyaan saya, itu jelas sekali bukan saya!
"Saya yakin itu gambar suntingan dan sudah tentu-tentulah kulit badan saya cerah. Fitnah sekarang melampau-lampau! Kalau ditanya berkali-kali pun saya tetap katakan itu bukan saya.
"Dan saya pun tak bodoh untuk berkongsi gambar sebegitu," jawabnya kepada Gempak.
Dalam temubual eksklusif itu juga, pemilik nama sebenar Mohd Zulikmal Amry Ghazali itu mengesyaki penyebaran foto sedemikian bertujuan ingin menjatuhkan kariernya.
"Saya dapat tahu mengenai foto tersebut sejak dua tahun lalu ketika penggambaran drama bersiri Mencintaimu Mr. Photographer dan kali ini ketika drama saya Puteri Yang Ditukar akan keluar, foto itu kembali tersebar.
"Memang ketika itu saya hilang semangat untuk berlakon. Kemudian saya mendapatkan nasihat kawan-kawan saya dan lama-kelamaan setiap kali kontroversi ini muncul saya jadi bosan.
"Bagi saya, individu terbabit memang dengki dan sengaja mahu menjatuhkan saya daripada dahulu.
"Apa yang boleh saya katakan saya takkan berhenti berlakon. Saya bekerja untuk menanggung keluarga saya di kampung dan ini sebahagian daripada dugaan saya bergelar artis," tambahnya.
Susulan kontroversi itu, Ikmal menjelaskan dia tidak akan mengambil sebarang tindakan undang-undang sebaliknya memaafkan pihak yang tidak bermoral itu.
"Bodoh kalau saya terus layan sampai ambil tindakan undang-undang.
"Saya akan bertindak seandainya pihak tertentu mengacau keluarga saya. Setakat hentam diri saya, saya tak kisah," kata peserta Hero Remaja 2017 itu lagi.
Kontroversi itu tambah Ikmal mengajarnya untuk tidak terlalu mempercayai orang lain.
"Iktibar daripada perkara ini, jangan cepat percayakan orang!
"Sebagai lelaki memang kita nakal, tetapi bagi saya kalau nak nakal tolak tepi kamera. Saya mengaku saya nakal tetapi saya tahu apa yang saya buat. Saya takkan rakam benda sebegini yang mengaibkan," tegasnya.
Foto lelaki mirip Ikmal yang sedang berbogel sambil menayangkan alat sulit dalam keadaan terkangkang kembali tersebar di media sosial Twitter sejak semalam.
Penyebaran itu sekali lagi mengundang tanda tanya netizen terhadap kesahihan individu terbabit yang dikaitkan dengan Ikmal.
Sementara itu, dalam perkembangan terkini Ikmal bakal muncul menerusi drama bersiri adaptasi sinetron Indonesia Puteri Yang Ditukar bergandingan dengan Eyra Hazali, Elisya Sandha, Julia Farhana dan ramai lagi.
Puteri Yang Ditukar akan mula disiarkan pada 9 Julai 2019 setiap hari Isnin hingga Jumaat pukul 6 petang di saluran Astro Prima dan Prima HD.
Must-Watch Video