Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Isu Gelaran 'Penyanyi Nombor 1', Siti Nurhaliza Minta Semua Bertenang - "Ini Gurauan, Jangan Ambil Serius Sangat"

Amri Hassan
10/04/2023 02:55 MYT
Mustika hati rakyat Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengulas mengenai kenyataan viral usahawan sensasi Datuk Seri Aliff Syukri yang menyatakan dirinya adalah 'penyanyi nombor satu' baru-baru ini.

Jelas Siti, kenyataan itu bukan perkara serius dan responnya terhadap Aliff Syukri cumanya sekadar gurauan sesama rakan industri.

"Mungkin saya rasa ini lebih kepada hiburan dan bergurau senda. Saya pun melayan saja Datuk Aliff Syukri tu.

"Saya tahu dia pun sebenarnya saja. Tak perlu kita ambil serius sangat.

"Peminat pula janganlah bergaduh. Kita ni memang bergurau begitulah. Saya percaya peminat saya pun faham apa yang diguraukan ini. Jadi cool, chill!" ulas Siti.

Siti yang ditemui pada majlis berbuka puasa Prihatin dan Kopena bersama media serta rakan strategik di Courtyard by Marriot Setia Alam pada Ahad menyifatkan gelaran yang diberikan peminat perlu diselarikan dengan hasil kerja yang terbaik.

"Sebetulnya, saya tak adalah dalam hati saya nak orang bagi saya gelaran nombor satu atau apa pun. Bagi saya gelaran itu tak kemana pun, yang penting kerja-kerja kita.

"Kita buat yang terbaik, selagi orang suka selagi itu kita boleh kekal dalam industri ini. Itu yang lebih penting," katanya merendah diri.

Malah, Siti terharu dengan sokongan serta penghargaan peminatnya hingga kini.

"Saya patut bersyukur banyaklah, sebab peminat menghargai saya. Saya harap biarlah ia kekal, orang menghargai saya dengan sesuatu yang baik dan positif.

"Saya tak naklah orang ingat saya dengan perkara tidak elok. Yang baik itu Alhamdulillah. Harap begitulah seterus-seterusnya," ulasnya lanjut.

Terdahulu, viral kenyataan Aliff Syukri yang melabelkan dirinya adalah penyanyi nombor satu Malaysia yang kemudiannya 'dipersetujui' oleh Siti sendiri menerusi ruangan komen dan sesi siaran langsung media sosial beliau.

BACA: Epik! Siti Nurhaliza Terpaksa Mengiyakan Aliff Syukri Penyanyi Nombor 1 - "Saya Belakang Awak Ya"

#Penyanyi #Viral #Siti Nurhaliza #Aliff Syukri #Usahawan #Penyanyi Nombor 1
;