Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bakal mengadakan pertemuan dengan agensi berkaitan hari ini, berhubung isu perkahwinan kanak-kanak berusia 11 tahun dengan seorang lelaki berusia 41 tahun di Kelantan.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata mesyuarat itu antaranya dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Mahkamah Syariah, yang dipanggil demi kepentingan terbaik kanak-kanak terbabit.

"Apa yang kita nak lakukan adalah pertemuan dengan JKM, Mahkamah Syariah dan semua agensi berkaitan supaya kita dapat memberi kepentingan terbaik kepada kanak-kanak berkenaan.

"Ini penting, apa-apa kepentingan terbaik kepada kanak-kanak ini kenalah diambil maklum dan dibuat pertimbangan sewajarnya untuk menjaga hak anak-anak yang sepatutnya kita menjadi penjaga terbaik," katanya.

Sebelum ini, beberapa keping gambar menunjukkan seorang lelaki berusia 41 tahun melangsungkan perkahwinan dengan seorang kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun sebagai isteri ketiganya di Gua Musang, Kelantan, tular di media sosial sejak Jumaat lepas.

Ia mula tular selepas perkara itu dikongsikan isteri kedua lelaki terbabit.

Sumber: Astro Awani