Penyanyi Aiman Tino berharap agar sahabatnya, Haqiem Rusli tidak mempermainkan isu kemurungan untuk melakukan gimik dalam melakukan promosi single terbaharunya.

Menurut Aiman, dia tidak mengetahui punca sebenar yang dilakukan oleh Haqiem dan berharap penyanyi itu segera mendapatkan rawatan segera jika mengalami masalah kemurungan.

"Isu kemurungan jangan dibuat main kerana itu terlalu serius.

"Saya berharap apa yang Haqiem lakukan itu bukanlah sekadar gimik kerana ia akan membuatkan peminatnya berasa sedih dengan tindakannya itu.

"Jika betul dia mengalami masalah kemurungan, dia perlu berjumpa dengan pihak yang betul untuk minta pertolongan atau mendapatkan rawatan segera.

"Dia juga harus mendapatkan nasihat daripada ibu bapa kerana peranan mereka juga sangat penting," katanya kepada Astro Gempak.

Aiman berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media memperkenalkan barisan pelumba Toyota Gazoo musim kedua di APW Bangsar, pada Rabu.

Haqiem terdahulu telah memadamkan semua foto dalam Instagramnya awal Syawal lalu dan memberitahu akan membuat keputusan untuk bersara daripada dunia hiburan pada Julai.

Tindakan itu ekoran daripada masalah peribadi dan kemurungan yang dihadapinya sejak bergelar selebriti.

Susulan kenyataan yang dibuat, orang ramai terutama selebriti turut meniupkan kata-kata semangat untuk kembali bangkit.

Namun ada pihak yang beranggapan kenyataan dibuat Haqiem itu hanya sekadar gimik untuk mempromosikan lagu terbaharunya, Selamat Tinggal Sayang.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi

Foto: Instagram