Ketiadaan penyanyi asal lagu Astana di separuh akhir Muzik Muzik 38 (SFMM38) telah menimbulkan banyak spekulasi dan persoalan dikalangan peminat muzik tanah air.

Pihak Rocketfuel Entertainment tampil memberikan kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut.

Menurut Rocketfuel Entertainment, pencalonan lagu itu berlaku semasa penyanyi asal masih di bawah naungan mereka.

“Pihak Rocketfuel Entertainment berterima kasih dan menghormati sedalam-dalamnya harapan dan juga sokongan setiap peminat yang telah berusaha keras dalam memastikan lagu ‘Astana’ mara ke SFMM38.

“Pencalonan lagu ‘Astana’ untuk program Muzik Muzik berlaku pada bulan Februari 2023 semasa penyanyi asal masih lagi di bawah naungan Rocketfuel Entertainment.

“Rocketfuel Entertainment sentiasa bersedia untuk berkolaborasi dengan mana-mana pihak untuk mengetengahkan hasil karya artis-artis Malaysia bagi peminat muzik tanah air.

“Pihak Rocketfuel Entertainment menghormati keputusan yang telah dibuat oleh pihak pengurusan penyanyi asal lagu ‘Astana’ untuk tidak terlibat dalam menyanyikan lagu ini di pentas SFMM38,” jelas pihaknya.

Dalam pada itu, Rocketfuel juga menyatakan pihak mereka sentiasa terbuka untuk berbincang dengan mana-mana pihak berhubung perkara itu.

“Pihak Rocketfuel Entertainment juga ⁠sentiasa bersedia dan bersifat terbuka untuk bertemu serta berbincang dengan mana-mana pihak yang sudi untuk bersama membolehkan penyanyi asal membawa hasil karya mereka di pentas SFMM38.

A post shared by Rocketfuel Entertainment Sdn Bhd (@rocketfuelent)

Untuk rekod, dua artis lain iaitu Amira Othman dan juga Syamel yang tidak lagi berada di bawah naungan Rocketfuel Entertainment telah bersetuju untuk membawa lagu nyanyian mereka di pentas SFMM38.