Isu Mogok Peniaga Pasar Malam Berkaitan SOP COVID-19, Ini Jawapan Balas Menteri!
Baru-baru ini kecoh apabila terdapat segelintir penjaja dan peniaga pasar malam meluahkan rasa tidak puas hati mereka berkenaan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan oleh kerajaan..
Malah, seramai 500 penjaja dan peniaga Pasar Malam Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) memilih menangguhkan dahulu pembukaan semula perniagaan susulan SOP yang terlalu ketat.
BACA: "Selagi Tidak Diubah, Selagi Itulah Kami Tidak Beroperasi" - Peniaga Pasar Malam Tidak Puas Hati SOP Baru?
Namun, menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, kata dua diberikan iaitu penjaja pasar malam perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan sekiranya mahu kembali berniaga.
Menerusi Harian Metro, beliau berkata, pematuhan itu perlu bersesuaian dengan normal baharu dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang masih dilaksanakan.
"Ruang perbincangan dan menyalurkan maklum balas sentiasa terbuka untuk kebaikan bersama terutama jika penjaja merasakan SOP ditetapkan terlalu ketat hingga menyukarkan mereka," katanya.
Tambahnya, pihak kerajaan sentiasa fikir cara terbaik dan apa dibuat sudah dibincangkan dengan mengambil kira aspek kesihatan serta lain-lain lagi.
"Rasa ketat, sukar, boleh bincang. Mereka sentiasa boleh datang semula kepada kita," katanya.
Sumber: Harian Metro