Isu Pembatalan Konsert, Tomok Nasihat - “Kena Tahu Latar Belakang & Pengalaman Pihak Penganjur”
Mya Amri
13/11/2024 13:17 MYT
13/11/2024 13:17 MYT
Penyanyi dan vokalis kumpulan New Boyz, Tomok, 40, menasihatkan setiap penyanyi yang ingin mengadakan konsert harus tahu tentang latar belakang pihak penganjur.
Ambil tahu latar belakang penganjur
Menurut Tomok, perkara itu bagi mengelakkan wujudnya insiden tidak diingini seperti penipuan dan penganiayaan yang biasanya menyasarkan penyanyi baru yang baru memasuki industri seni.
“Saya tidak nafikan perkara ini memang biasa berlaku, ada dalam kalangan pihak penganjur suka menyakinkan penyanyi baru untuk mengadakan konsert.
“Saya rasa tak ramai artis baru yang bersedia membuat konsert, penganjur seakan memberikan harapan bulan bintang kepada artis namun bila ada perkara yang berlaku ia akan terpalit kepada artis itu sendiri.
“Sebagai artis kita kena ambil tahu juga latar belakang dan pengalaman pihak penganjur,” ujarnya.
Tomok berkata demikian ketika ditemui di sidang media konsert Tomok dan Siti Nordiana Memori Mungkin Berulang bertempat di The Majapahit, Kuala Lumpur pada Rabu.
Pernah berdepan situasi sama
Tambah Tomok lagi, dia juga pernah berdepan dengan situasi sama sepanjang 25 tahun bergelar anak seni.
“Kalau ikutkan memang banyak kes seperti ini berlaku, orang orang yang suka mengambil kesempatan ini wujud dari dulu sampai sekarang.
“Orang sebegini memang ada, ada yang ajak kita buat persembahan dan akan bayar kemudian tetapi hilang begitu sahaja.
“Jadi sebagai orang yang berpengalaman, kita kena bijak menguruskan konsert sendiri seperti minta deposit, kontrak dan hal itu memainkan peranan penting.
“Kita jangan bagi orang-orang seperti ini mengawal segala hal berkaitan konsert. Kasian dekat artis-artis kita.
“Yang busuk nanti nama artis bukan penganjur. Proses perbincangan itu penting, jangan asal boleh sahaja,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Tomok teruja untuk mengadakan konsert pertama bersama Siti Nordiana selepas lebih dua dekat berada dalam industri seni.
Konsert Tomok dan Siti Nordiana Memori Mungkin Berulang dijadualkan berlangsung pada 1 Februari 2025 bertempat di Zepp Kuala Lumpur.