Berita
Isu Pengagihan Royalti Jadi Topik Utama Perbincangan AGM KARYAWAN Ke-19
Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) akan membawa isu membabitkan pengagihan royalti pada artis yang masih belum menemui jalan penyelesaian dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) yang akan diadakan esok.
Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, isu ini perlu diselesaikan segera memandangkan ramai artis tertanya-tanya mengenai royalti yang sepatutnya mereka dapat.
"Pengagihan royalti ini membabitkan pemuzik dan artis rakaman di mana sebelum ini sebanyak RM100 juta dikutip pada setiap tahun tetapi adanya penubuhan Music Rights Malaysia Bhd (MRM), ia turun mendadak dan perkara ini akan dibincangkan nanti," katanya kepada Astro Gempak.
Jelasnya, MRM mempunyai jumlah royalti yang mencukupi yang dikutip untuk diagihkan kepada artis.
"Kita akan tentukan apa tindakan yang akan dilakukan agar royalti ini sepatutnya dapat diagihkan selain mendengar masalah dan cadangan daripada ahli yang hadir esok," katanya.
Ujarnya, kutipan royalti ini sepatutnya diagihkan kepada Badan Pelindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) sebanyak 50 peratus, Public Perfomance Malaysia Sdn Bhd (PPM)(25 peratus) manakala baki 25 peratus kepada dua badan iaitu PRISM dan Recording Performers Malaysia Berhad (RPM).
"Ramai ahli dijangka hadir pada AGM kali ini untuk membincangkan isu royalti dan pelbagai isu membabitkan hala tuju industri," katanya.
Freddie menyatakan beberapa isu berhubung industri hiburan dan kerajan baru turut dibincangkan nanti bersama ahli.
"Kami juga menjemput ahli PRISM dan RPM untuk hadir sama. AGM kali ini juga memberi fokus terhadap apa kehendak ahli yang belum diselesaikan," katanya.
AGM ke-19 ini akan diadakan di Hotel Adamson, Kuala Lumpur jam 3 petang.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: FB @karyawanmalaysia
Must-Watch Video