Model dan pelakon Alicia Amin membuat permohonan maaf secara terbuka selepas menerima kecaman netizen yang mempersoalkan tahap kebersihannya dalam proses penyediaan makanan.

Alicia yang mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan makanan itu membuat kenyataan tersebut menerusi posting terbaharu di Instagram ‘Rendang Tok Raja Lapar’ miliknya semalam.

Menurut Alicia, dia mengakui terlepas pandang perkara penting yang sepatutnya dilakukan seperti sarung tangan, penutup kepala dan apron.





Manakala mengenai isu Typhoid pula, Alicia menjelaskan dia sudah mengambil suntikan itu sebelum ini dan tidak perlu risau mengenai perkara itu.

Malah kata Alicia, dia juga akan menyemak tarikh luput suntikan tersebut.

“Berkenaan dengan isu kebersihan dan juga cara pemakaian saya ketika memasak rendang, saya ingin memohon maaf terhadap beberapa perkara yang saya terlepas pandang.

“Saya pernah bekerja dalam industri makanan dan minuman sebelum ini jadi saya telah pun mendapatkan suntikan Typhoid.

“Saya terlepas pandang mengenai sarung tangan, penutup kepala dan apron kerana saya melihat peniaga bazar/tepi jalan tidak memakainya. Tetapi saya memberi jaminan bahawa tangan saya bersih dan dibasuh berulang kali seperti mana yang sepatutnya ketika memasak.

“Saya hanya menjalankan perniagaan kecil dari rumah, saya akui memang banyak kekurangan. Atas sebab ini jugalah saya umumkan untuk berehat seketika untuk memperbaiki kekurangan yang ada,” jelasnya.

Dalam pada itu, Alicia juga menyatakan tidak adil untuk menjatuhkan hukum dan mempertikaikan niatnya untuk menjual juadah Melayu.

“Di sini menerusi Rendang Tok Raja Lapar, apa yang saya lakukan hanyalah ingin berkongsi juadah yang saya suka bersama mereka yang mahukannya.

“Untuk mempertikaikan niat saya menjual juada Melayu, saya rasa itu ada sesuatu yang tidak adil dan munasabah. Lagi pun bukan Melayu sahaja yang sukakan rendang.

“Jika anda mempunyai sebarang masalah yang tidak berkaitan dengan kebersihan, kualiti, penghantaran atau rasa rendang saya, perkara itu bukanlah di bawah tanggungjawab saya,” jelasnya lagi.

As a first time business owner doing everything myself, I am so sorry for not reaching the standards many of you expect of me. ?? As announced last week, we are still on a break. I am expecting to resume production sometime next week or the week after.

A post shared by Rendang Tok By Alicia Amin (@rendangtokrajalapar) on


Terdahulu, Alicia Amin menjadi tular di media sosial selepas foto yang merakamkan penampilannya memasak rendang yang ditempah oleh pelanggan menjadi bualan hangat netizen.

Alicia didakwa tidak mengamalkan cara kebersihan yang betul selain pakaian yang dikenakan juga tidak bersesuaian dan kurang sopan.