Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Isu Royalti Artis Perlu Diselesaikan Segera Di Bawah Satu Badan Pengagihan

Elrafaei Sapi
04/06/2018 12:20 MYT
Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN) menggesa agar isu royalti yang menjadi masalah sekian lama pada golongan seni diselesaikan secepat mungkin.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, isu ini sudah banyak kali diperbincangkan tetapi jalan penyelesaian terbaik masih belum ada.

"Apa yang masih menjadi masalah pada artis sehingga kini adalah ramai yang keliru dengan proses pengagihan royalti ini," katanya kepada Astro Gempak.

Ujarnya, ketika ini empat badan dipertanggungjawab dalam kutipan dan penggagihan royalti iaitu PRISM, Recording Performers Malaysia Berhad (RPM), Badan Pelindungan Hakcipta Karyawan Muzik Malaysia (MACP) dan Public Perfomance Malaysia Sdn Bhd (PPM).

"Ada artis yang datang mengadu pada KARYAWAN mereka tidak mendapat sebarang royalti.

"Malah, apa yang menjadi tanda tanya apabila wujud satu badan baru iaitu MRM untuk mengutip royalti dan ini sudah tentu lebih mengelirukan artis berkenaan," katanya.

Sebagai jalan penyelesaian, KARYAWAN mencadangkan agar kesemua badan yang dipertanggungjawab mengagih royalti digabungkan menjadi satu entiti.

"Tidak perlu banyak badan yang mengagihkan royalti kerana apabila wujud badan berasingan, masalah akan lebih banyak timbul merujuk senarai ahli yang berbeza.

"Jika hanya satu badan saja, ia lebih memudahkan untuk proses pengagihan dilaksanakan," katanya.

Freddie mendedahkan, jumlah kutipan royalti untuk persembahan awam muzik setiap tahun bagi komposer, syarikat rakaman, artis dan pemuzik rakaman dianggarkan melebihi RM100 juta setahun.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Mustaffa Tapa Otai Ahmad Hidzir (Facebook)
#Karyawan #MACP #PPM #PRISM #RPM
;