Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberitahu yang beliau masih belum menerima notis saman daripada sekumpulan individu yang mendakwa menjadi mangsa vaksin COVID-19 baru-baru ini.

Khairy yang juga calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sungai Buloh berkata, sekiranya notis berkenaan diterima, beliau akan melantik seorang peguam bagi mewakili dirinya.

“Saya belum terima lagi notis saman tersebut… kalau saya terima, saya akan lantik peguam untuk menjawabnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi Sidang Media Menteri Kesihatan Berhubung Status Terkini Covid-19 di Hospital Sungai Buloh, Selangor semalam.

Terdahulu, seramai 44 mangsa termasuk 14 waris mangsa yang meninggal dunia memfailkan saman terhadap Kerajaan Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta tiga pengeluar vaksin Covid-19 termasuk Pfizer Malaysia Sdn Bhd, Astrazeneca Sdn Bhd dan Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd.

Perkara itu dimaklumkan menerusi sidang media yang diadakan oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) di Kondominium Villa Puteri, Kuala Lumpur, kelmarin.

Sumber: Harian Metro

Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!