Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

Isu Tudung 'Terbang', Rebecca Nur Al Islam Akui Salah Sendiri

Kamaruddin Razal 11/01/2017 | 13:08 MYT
Aktres Datin Rebecca Nur Al Islam mengakui salah dirinya sendiri apabila memuatnaik gambar yang menampakkan sebahagian rambutnya.
Menerusi ruangan gosip sebuah akhbar dua minggu lalu yang bertajuk Tudung Rebecca 'Terbang' Di Jepun, tindakan Rebecca yang memuatnaik gambar yang menampakkan sebahagian rambutnya mengundang persoalan.
Umum mengetahui Rebecca sudah mula mengenakan hijab semenjak tahun 2014 selepas pulang dari mengerjakan ibadah Umrah.
"Gambar itu diambil ketika saya dan keluarga bercuti di Jepun. Untuk memudahkan pergerakan saya di sana serta keselesaan bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain, saya memakai anak tudung dan menutupi kepala saya dengan hoodie.
“Keadaan di sana juga sangat berbeza berbanding Malaysia. Cuaca juga sangat sejuk dan angin pun bertiup sangat kencang. Saya tidak perasan rambut terkeluar.
“Menjadi kesilapan saya sendiri apabila saya memuatnaik gambar tersebut di laman Instagram. Saya minta maaf jika ada pihak yang kurang senang. Adat menjadi manusia, tiada yang sempurna,” kata Rebecca kepada Astro Gempak.
Tidak menyalahkan sesiapa dan mengakui kesilapan itu merupakan kesalahannya sendiri, Rebecca enggan menuding jari.
“Sejujurnya, saya memang tak perasan. Takkan saya mahu salahkan orang lain atau tidak mahu mengaku kekhilafan ini, sedangkan ini kesalahan saya sendiri. Apa yang boleh saya lakukan sekarang, saya mahu berlaku jujur dan meminta maaf kepada semua pihak.
“Apa yang penting, saya mahu menjadi diri sendiri. Walaupun saya sudah berhijab, saya masih dalam proses pembelajaran. Perubahan yang berlaku dalam diri saya terjadi secara perlahan-lahan. Perubahan ke arah kebaikan terjadi setiap hari, sedikit demi sedikit. Saya harap semua pihak mendoakan yang terbaik untuk diri saya,” katanya lagi.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
#Hijab #Rebecca Nur Al Islam
;