Laman Utama

Isu Veveonah: Akhirnya Timbalan Menteri Komunikasi Mohon Maaf! –  “Perjuangan Veveonah Patut Dipuji…”

gempak
Fiza Kamarudin
10/09/2020
14:07 MYT
Sponsor Banner
Isu Veveonah: Akhirnya Timbalan Menteri Komunikasi Mohon Maaf! –  “Perjuangan Veveonah Patut Dipuji…”
Akhirnya Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin memohon maaf berhubung dakwaan terhadap penuntut Universiti Malaysia Sabah, Veveonah Mosibin.
Zahidi pada Khamis memohon maaf di Dewan Negara kerana menimbulkan kekeliruan berhubung masalah capaian internet yang dihadapi Veveonah.
"Saya ingin memohon maaf, dengan keizinan Yang Dipertua, saya ingin membuat permohonan itu di dewan mulia ini kerana menimbulkan kekeliruan dalam hal adik Veveonah.
“Maaf juga kerana maklumat daripada wakil rakyat kawasan menyebabkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak.
"Mungkin pendapat saya telah disalah tafsir. Di daerah dan Pekan Pitas terdapat liputan dan pusat internet, namun ia perlu ditambah baik secara keseluruhan," katanya sebelum memulakan sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, di Dewan Negara di Parlimen, Khamis.
Beliau berkata, isu yang diluahkan oleh Veveonah adalah kelemahan liputan internet di Kampung Sipatalang di Pitas, Sabah yang memerlukan perhatian kerajaan.
Bagaimanapun, sebagai seorang bapa beliau berpendapat tindakan duduk di atas pokok pada waktu malam bagi mendapatkan liputan internet merupakan tindakan yang boleh membahayakan keselamatan diri.
"Kalau anak kita pun kita akan nasihat untuk tidak melakukan perkara itu kerana takut tercedera. Tetapi, perjuangan Veveonah untuk menunjukkan bahawa terdapat kekurangan liputan internet di kawasan luar bandar adalah perjuangan yang patut dipuji.
"Saya mengambil tanggungjawab sepenuhnya dan kerajaan bersetuju bahawa isu ini adalah isu pencapaian internet di pedalaman Sabah yang harus diberi perhatian dan ditangani sebaik mungkin," katanya. Speaker Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim kemudiannya menzahirkan rasa puas hati dengan kesungguhan serta keikhlasan permohonan maaf yang dilakukan oleh Zahidi, justeru membuat keputusan timbalan menteri itu tidak perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negara.
"Melihatkan kesungguhan yang berhormat timbalan menteri untuk tampil bersama-sama mencari yang jernih daripada yang keruh, mencari susunan adab yang lebih teratur, maka beliau wajar diberi peluang untuk menyampaikan kemaafan dalam suasana kita berkeluarga dalam perjuangan membaikkan tanah air.
"Maka apa yang telah timbalan menteri lafazkan (permohonan maaf) sebentar tadi yang secara berterusan secara spontan dan ikhlas harus diterima oleh dewan ini," katanya.
Sumber: BERNAMA
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live