Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Isu Wanita – Antara Si Penyondol Dan Bahana Bersuamikan Lelaki Panas Baran

Mya Amri
08/03/2023 09:17 MYT
Melihat kepada apa yang berlaku dalam permasalahan masyarakat hari ini, krisis rumahtangga terus mendapat perhatian ramai.

Baik yang tular di media sosial melibatkan masyarakat sekeliling mahupun selebriti isu ini seakan tidak pernah sunyi diperdebatkan.

Daripada curang, penderaan fizikal dan emosi terhadap pasangan, pengabaian anak-anak dan banyak lagi; kliche ataupun tidak itulah yang dihadapi segelintir daripada kita hari ini.

Sungguh, menjadi seorang wanita pada zaman ini tidak mudah. Cabaran, halangan dan godaan itu bertubi-tubi mengasak dari segenap segi.

Lantas bagaimana mahu merealisasikan ‘women empowerment’ andai wanita sendiri terus-terusan menjadi mangsa atau dengan selamba memejam sebelah mata menjadi orang ketiga meruntuhkan sesebuah rumah tangga?

Sisi Wanita ‘Penyondol’ dalam Isteri Halal

Lihat saja apa yang diketengahkan menerusi slot Tiara – Isteri Halal yang bersiaran di saluran Astro Ria setiap Isnin hingga Jumaat, 6 petang. Benar, isu penyondol ini takkan pernah habis dan bagaikan ‘musim’ pula lagaknya.

Tentang bagaimana watak Eyra (dibawakan oleh Uqasha Senrose) yang mempunyai agenda tersendiri hingga sanggup menggadaikan persahabatannya dengan watak Adellea (dipegang oleh Isyariana) sekali gus menggugat rumah tangga kawan baiknya itu.

Martabat dan harga diri wanita antara subjek yang menjadi taruhan dalam drama ini. Hakikatnya, ia berlaku dalam kalangan masyarakat kita hari ini. Isu penyondol bukan lagi sesuatu yang asing bahkan ada yang seakan ‘bangga’ hingga tergamak meruntuhkan mahligai yang dibina bertahun-tahun lamanya antara si isteri dan suami.

Isteri yang halal disisi agama itu sanggup diketepikan hinggakan si dia yang haram disentuhi itu tetap menang dihati lelaki yang hanyut dibuai asmara.

Hati siapa yang tidak berbara apabila si penyondol ini yang disangkakan sahabat dunia akhirat tergamak menghancurkan jiwa dan raga wanita yang sama juga sepertinya.

Sewajarnya ambillah ibrah. Ketepikan apa jua dendam dan permasalahan yang membelenggu diri. Usah terjerat sama sekali dalam kancah perhubungan suami isteri. Andai sudah tahu si dia sudah beristeri, jauhi.

Persetankan apa jua gejolak rindu, asmara yang kononnya merentan dua jiwa. Kerana ketahuilah manisnya, bahagia yang menyelimuti itu dibina atas deraian air mata cuma beberapa ketika, sekejap sahaja.

Yakinlah bahawa perselingkuhan itu takkan membawa anda dan si dia ke mana. Selama mana anda mampu tersenyum gembira berpegangan tangan bersama suami orang tatkala isterinya di rumah remuk redam hatinya.

Yang akan terus menjeruk dan merantai segenap pelusuk rasa adalah penyesalan yang tidak bertepi. Jadilah wanita yang mahal harga dirinya. Hormati, fahami dan perhalusi sedalamnya.

Jika benar mahu dijadikan seorang yang halal untuk si dia, carilah susuk lain yang masih belum berpunya. Ingatlah soal dosa dan pahala, hari perhitungan dan timbang tara sesama kita kelak.

Sengsara Bersuamikan Lelaki Panas Baran dalam Andai Itu Takdirnya

Sayang dan cintailah suami berpada-pada. Sungguhpun dialah cinta pertama yang berjanji sumpah setia sehidup semati dengan anda. Andai suami benar-benar mencintai sepenuh hati, takkanlah dia sanggup naik tangan lalu melukan hati si isteri yang telah memperjudikan masa depannya untuk hidup bersama.

Menyingkap apa yang dipaparkan dalam slot Megadrama Andai Itu Takdirnya membariskan pelakon hebat seperti Hannah Delisha memikul peranan Aleya dan Shukri Yahya sebagai Syed Aizril.

Menggarap sisi lain dalam drama ini, watak Syed Aizril adalah seorang lelaki yang digilai oleh ramai wanita kerana ketampanannya. Hidup dalam kemewahan menjadikan Syed Aiziril seorang yang berlagak dan sombong.

Tanpa di duga telah berlaku satu insiden yang menyatukan Syed Aizril dan Aleya. Mereka telah diperangkap oleh Faizal hingga ditangkap khalwat. Syed Aizril tidak boleh terima dia menuduh Aleya yang perangkap dia semata- mata hendak hidup senang.

Syed Aizril dan Aleya di satukan dalam satu majlis pernikahan yang sederhana. Bapa Aleya, Encik Idris begitu kecewa, namun dia tetap hadir untuk mewalikan anaknya.

Ibu bapa Syed Aizril pun sama, mereka kecewa namun terpaksa menerima. Puan Sri Sharifah Aishah mama Syed Aizril begitu membenci Aleya begitu juga dengan emak saudaranya, Sharifah Rosnah.Sepupu Syed Aizril, Sharifah Emilin, yang sepatutnya menjadi isteri Syed Aizril begitu kecewa.

Aleya melalui dugaan dalam hidupnya. Syed Aizril menyeksa hidupnya. Namun takdir penentu segalanya, Syed Aizril ditimpa kemalangan. Dia menyesal segala perbuatan dia pada Aleya.

Syed Aizril ingin menebus segala kesalahan dia. Demi cinta dan kerana anak-anak, Aleya menerima juga Syed Aizril. Namun Sharifah Emilin tetap berdendam, berbagai cara yang dibuat untuk memisahkan mereka hinggalah Sharifah Emilin meninggal dunia di sebabkan kemalangan.

Kuasa Allah mengatasi segalanya. Setelah melalui onak dan duri Aleya dan Syed Aizril hidup bahagia dengan anak-anak mereka.

Bersuamikan lelaki yang panas baran benar-benar menduga. Dan itulah yang dirasai sebahagian daripada wanita di luar sana. Apa yang ditonjolkan dalam drama ini mungkin sekadar secebis daripada realiti yang terpaksa ditelan ramai wanita sekeliling kita.

Terjerat antara mahu masih menyelamatkan ikatan suami isteri atau terus angkat kaki dan keluar daripada ‘neraka’ jadian itu. Walau sudah tumpah segala air mata, berperang dengan emosi yang menjadi ‘punching bag’ suami dan segala bentuk penderaan emosi semua itu perlu dinoktahkan demi kebaikan dan masa depan.


Mendepani Cabaran Wanita Hari Ini

Sempena Hari Wanita Antarabangsa yang disambut hari ini bertemakan Kasih Wanita cukup jelas mesej dan pengisiannya. Selayaknya wanita itu perlu dihormati haknya.

Ia merangkumi kasih sayang, akhlak atau peribadi mulia, sihat fizikal dan mental juga berilmu dan harmoni. Kelestarian dan keseimbangan ini akan dirasai andai terisi keperluan rohani dari setiap segi.

Sokong dan santunilah sewajarnya. Bukan menjadi orang ketiga yang meranapkan semuanya. Bukan juga terus-terusan mendiamkan diri kala menjadi mengsa keganasan suami.

Sungguh, menjadi wanita yang hidup dalam zaman serba serbi mencabar ini cukup menguji. Benteng diri, kewarasan akal fikiran, tindakan seharusnya selari. Kerana dalam agama sudah menggariskan taatilah suami selagi mana ia tidak melanggar syarak.

Bahkan wanita Islam hanya dituntut mentaati suami pada perkara kebaikan selagi tidak menjejaskan pegangan agama atau perkara yang tidak memudaratkan diri sendiri.

Jika dikasari atau berhadapan dengan situasi yang dapat mengancam nyawa umpamanya, maka segeralah dapatkan bantuan.

Selain nasihat ahli keluarga, konsultasi bersama mereka yang berkepakaran seperti kaunselor sekurang-kurangnya boleh membantu meringankan beban yang terpaksa digalas.

Rujuk Pejabat Agama misalnya bagi mendapatkan penjelasan berkaitan hukum hakam atau pakar motivasi untuk bina semula keyakinan diri.

#wanita #Suami #Panas #Penyondol #Debat #Isteri Halal #Andai Itu Takdirnya #Baran #Isu Wanita #Lelaki Panas Baran
;