"It’s A Girl" – Alhamdulillah... Azrinaz Mazhar Hakim Selamat Bersalin

Mya Amri
September 16, 2019 07:22 MYT
Bekas personaliti televisyen, Azrinaz Mazhar Hakim selamat melahirkan bayi perempuan semalam.
Berita gembira itu diumumkan Azrinaz menerusi kemas kini terbaru di akaun Instagram miliknya sebentar tadi.
Menurut Azrinaz, dia bersyukur kerana proses bersalin berjalan dengan lancar serta kedua-dua ibu dan anak berada dalam keadaan sihat.
“Syukur, Alhamdullilah, saya dengan suami dengan gembiranya ingin mengumumkan kehadiran puteri kami pada Ahad, 15 September 2019 pada jam 10.20 pagi, seberat 2.75 kilogram. Kedua-dua ibu dan anak berada dalam keadaan sihat.
“Allah sebaik-baik perancang. Proses bersalin berjalan dengan lancar dan rasanya seperti berlalu dengan begitu cepat. Alhamdulillah.
“Kehadiran anak perempuan kami membuatkan kehidupan terasa lebih bermakna. Terima kasih atas doa, kata-kata semangat yang diberikan oleh keluarga dan juga rakan-rakan.
"Sekarang kami memerlukan sedikit masa untuk berehat dan akan mengemas kini perkembangan terbaru di masa akan datang,” tulisnya.
Terdahulu, Azrinaz melangsungkan perkahwinan dengan teman lama, Fairos Khan Abdul Hamid, 43, pada 1 Mei tahun lalu dan ia merupakan perkahwinan kedua buat Azrinaz.
Sebelum ini, Azrinaz dan suami sama-sama bertugas di TV3, namun mula rapat sejak lebih setahun sebelum mereka mendirikan rumah tangga.
#Bersalin #Azrinaz Mazhar Hakim