“It’s Never Goodbye, It’s Always See You Soon” – Brendan Gan Sah Tinggalkan Pasukan Perak

Azwa Rahman
November 29, 2019 07:19 MYT
Pemain bola sepak pasukan Perak, Brendan Gan mengumumkan akan meninggalkan skuad The Bos Gaurus untuk musim 2020.
Menerusi laman sosial Instagram, Gan, 31, memuat naik beberapa foto kejayaan yang dirangkulnya bersama pasukan Perak untuk tatapan umum.
“Inilah masanya saya membuat pengumuman yang saya akan meninggalkan pasukan Perak selepas dua tahun yang hebat di Ipoh berikutan tiada kata sepakat daripada saya dan pihak pengurusan.
“Saya telah berikan segala yang terbaik buat negeri Perak setiap kali masuk padang tapi kadang-kala bola sepak sahaja tidak cukup. Saya cukup hargai dua tahun di Ipoh dan banyak memori indah yang akan kekal sepanjang hidup saya,” tulisnya sebagai kapsyen.
Di kesempatan itu, Gan turut memberikan ucapan terima kasih kepada jurulatih pasukan Mehmet Duraković yang menjadi tulang belakang dan dianggap seperti sebahagian daripada keluarganya.
Malah, dia turut melahirkan penghargaan kepada bekas pengurus pasukan Perak yang juga merangkap Timbalan Presiden Persatuan bola sepak negeri Perak, Shahrul Yahya yang meletakkan 100 peratus kepercayaan terhadap dirinya.
Walaubagaimanapun, Gan setakat ini belum mendedahkan pasukan mana yang bakal diwakili musim depan.
Di ruangan komen, rata-rata warganet bersedih dengan pemergian Gan daripada pasukan Perak.
Malah, mereka turut berterima kasih kepada Gan kerana pernah memacu kejayaan negeri itu untuk merangkul Piala Malaysia 2018.
“Thank you, bro. Hardest goodbye, from yeop,” ucap seorang warganet.
“Babak baru yang mengujakan. Selamanya akan diingati sebagai juara dan legenda kuning hitam. Congratulations bro,” komen seorang warganet.
“Selamat maju jaya untuk musim akan datang bersama pasukan baru,” ujar seorang warganet lagi.
Sedikit info, Gan dilahirkan di Australia dan pernah menyarung jersi pasukan Kelantan sebelum berhijrah ke negeri Perak.
#Sukan #Bola Sepak #Perak