Pempengaruh media sosial, Ubai menafikan dakwaan bakal berkahwin dengan teman rapatnya, penyanyi Shila Amzah.

Menurut Ubai, kenyataan yang tular di media sosial itu hanyalah gurauan yang dilakukan sewaktu melakukan sesi siaran langsung mereka di platform TikTok baru-baru ini.

“Sebenarnya tentang hal itu, saya hanya berseloroh sahaja bersama peminat, tak sangka pula ada sesetengah portal dan blogger mengambil serius tentang perkara tersebut.

“Walhal ketika sesi siaran langsung itu sendiri saya sudah memberitahu bahawa perkara itu hanyalah gurauan semata-mata,” katanya ketika ditemui Gempak.

Malah kata Ubai lagi sekiranya mereka berjodoh dan hal itu benar-benar terjadi, pihak mereka sendiri akan memaklukkan berita tersebut untuk mengelakkan fitnah.

“Saya berseleroh seperti itu kerana ada yang bertanya bila akan berkahwin jadi kami pun menjawab tak Sabtu, Ahad sambil ketawa.

“Itu sahaja, tiada apa-apa yang serius pun sebenarnya. Andai kata kami ingin mendirikan rumah tangga, kami sendiri akan mengumumkannya.

“Kerana tujuan perkahwinan itu juga adalah untuk menguar-uarkan dan mengelakkan fitnah,” jelasnya.

Ditanya sama ada rimas kerana sering menjadi perhatian netizen, ini jawapan Ubai.

“Saya rasa agak kurang selesa apabila setiap kali kami melakukan sesi siaran langsung mahupun IG Stories pasti ada yang ambil dan mereka mengolah cerita tanpa mengetahui hal sebenar.

“Sedangkan seperti yang orang ramai tahu, saya sebenarnya seorang yang suka bergurau dan setiap kali bergurau saya akan memberitahu bahawa perkara yang disebutkan itu adalah gurauan. Jadi janganlah ambil serius,” ujarnya.

Terdahulu, dalam siaran langsung di Instagram, Shila secara bergurau berkongsi mengenai persiapan majlis perkahwinan mereka nanti.

Video itu menyebabkan netizen tertanya-tanya, sama ada mereka bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat.