HIBURAN
“Itu Hanya Majlis Resepsi, Bukan Upacara Agama Lain” - Ibu Mentua Errisa Puteri
Penerbit terkenal, Datin Mahfuzah Zakkiah Abdain tampil memberikan penjelasan berhubung majlis resepsi perkahwinan anaknya, Putri Darweena Natasya, yang tular di media sosial baru-baru ini.
Menurut Mahfuzah, ramai yang tersalah anggap dan mengaitkan majlis tersebut dengan upacara agama lain, sedangkan ia sebenarnya hanyalah majlis resepsi bertemakan garden wedding yang berlangsung pada 16 Jun lalu.
“Sebenarnya, ramai salah faham. Ada yang kaitkan dengan upacara agama lain apabila melihat foto majlis anak kesayangan saya.
“Foto dan video yang viral itu adalah sedutan majlis resepsi yang diadakan pada 16 Jun lalu bertemakan ‘garden wedding’, jadi pengantin dan tetamu datang mengikut tema majlis,” katanya.
Mahfuzah turut memaklumkan bahawa anaknya, Darweena telah pun sah bergelar isteri kepada Ishtiaq Ahmed Ishaq pada 8 Jun lalu.
“Anak saya sudah bernikah dengan jejaka pilihan hatinya pada 8 Jun lalu di Al Manaar, The Muslim Cultural Heritage Centre di London.
“Itu hanya majlis resepsi, tiada kena mengena dengan upacara mana-mana agama. Tak salah untuk pengantin memilih tema ‘garden wedding’ dan mengenakan pakaian sebegitu memandangkan pihak lelaki merupakan juruterbang yang berasal dari London,” ujarnya.
Mengulas mengenai komen negatif yang diterima, Mahfuzah mengakui tidak melatah sebaliknya memilih untuk bersikap terbuka.
“Sejujurnya, saya tak ambil hati dengan komen negatif, tetapi sebagai ibu saya berharap orang ramai dapat mendoakan agar perkahwinan yang dibina oleh anak-anak saya kekal sehingga ke akhir hayat, Insya-Allah,” katanya lagi.
Terdahulu, majlis perkahwinan adik ipar kepada pelakon dan penyanyi Erissa Puteri, iaitu Putri Darweena menerima kritikan daripada warganet yang mendakwa konsep dan penampilan majlis resepsi tersebut menyerupai elemen budaya agama lain.