Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Laman Utama

“Itu Harus!” - Siti Nordiana Panjatkan Doa Agar Dipertemukan Jodoh Yang Baik Ketika Berada Di Mekah

Izwan Isa 06/05/2022 | 04:50 MYT

Baru-baru ini, penyanyi dan penyanyi Siti Nordiana terbang ke Mekah bagi mengerjakan umrah. Merupakan umrah yang kedua, penyanyi lagu Angkara itu mengakui banyak yang dipelajarinya ketika berada di sana.

“Umrah yang saya tunaikan tempoh hari merupakan umrah kedua saya. Kali ini agak berbeza dengan umrah yang pertama kerana ada banyak perkara yang saya pelajari ketika berada di sana.
“Tambahan pula, ustaz pengiring memberikan banyak pengisian baharu. Jadi, saya rasa ini merupakan pengalaman yang paling bermakna buat saya,” katanya kepada Gempak.
Dalam pada itu, wanita yang mesra disapa Nana itu berkata, mulutnya tidak lekang menzahirkan dan memanjatkan doa kepada Allah SWT ketika berada di sana.
“Ketika berada di sana, saya berdoa agar saya sentiasa beristiqomah. Maksudnya, ibadah apa yang saya lakukan di sana, dapat saya lakukan sebaiknya selepas kembali ke tanah air.
“Saya juga doakan agar ibadah saya selepas ini bertambah dan lebih baik daripada sebelum-sebelum ini,” katanya lagi.
Ditanya adakah dia berdoa agar ditemukan jodoh, Nana menjawab: “Itu harus! Jujurnya, saya doa secara am sahaja… doa supaya diperluaskan rezeki dan dipertemukan dengan jodoh yang baik.
“Setakat ini belum ada ura-ura untuk menamatkan zaman solo. Biarlah Allah yang tentukan. Berkawan-kawan tu ada, mungkin belum sampai masanya. Doakan saya ya,” tutur Nana.
Dalam perkembangan lain, Nana memberitahu yang dia berasa bersyukur kerana aktiviti seni boleh berjalan seperti biasa, memandangkan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi menangani wabak COVID-19 sudah semakin dilonggarkan.
“Alhamdulillah, kerjaya seni kembali berjalan… sepanjang Ramadan juga saya banyak menerima tawaran kerja seperti menyanyi. Jadi, saya berharap agar situasi ini berterusan insya-Allah,” tutup Nana.

#Siti Nordiana #Umrah #Jodoh
;