Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Itu Loghat Perak, Saya Kata Minum Aje Ler” - Ryan Bakery Nafi Panggil Anak Gila, Ramai Salah Faham Sebab Sebutan Laju

Mya Amri
21/03/2024 07:44 MYT
Personaliti media sosial, Ryan Bakery tampil memberikan penjelasan mengenai dakwaan netizen berkenaan sebutan gila yang digunakan terhadap anak lelakinya, Ryan Ezra.

Menurut Ryan, sebutan yang digunakan itu adalah loghat orang Perak namun disebabkan dia bertutur terlalu laju maka ayatnya itu telah disalah erti oleh netizen.

“Pada waktu itu kami pergi ke hospital untuk menjalani pemeriksaan, saya bermain dengan anak saya, dia sedang meragam dan mahukan ibunya.

“Anak bila duduk dengan isteri dia diam tapi pandang saya. Saya rakam dan saya cakap minum aje ler. Saya cakap tu laju, orang dengar minum gila jadi mereka ingat saya cakap macam tu.

“Loghat orang Perak memang begitu, saya pula cakap laju. Mungkin mereka salah tafsiran dan salah pendengaran,” katanya kepada Gempak.

Ryan berkata demikian ketika ditemui pada majlis berbuka puasa Indigital Music x FYP Media bertempat di St. Giles Boulevard Hotel, Mid Velley Megamall pada Rabu.

Tambah Ryan lagi, disebabkan timbulnya salah faham itu membuatkan dirinya akan lebih berhati-hati untuk bertutur di hadapan kamera.

“Terkejut saya bila dapat banyak komen komen negatif. Saya buka DM, mula mula okay. Lama-kelamaan saya lihat makin pelik komen, mereka kata saya cakap anak gila.

“Itu loghat Perak, saya kata minum aje ler. Jadi bila sebut laju laju lain pula pemahaman orang. Slang Perak saya masih ada, tak hilang lagi.

“Isteri kata tak perlu layan tapi saya kata tak boleh, kena beri penjelasan juga sebab nanti kalau tersebar di Facebook lagi teruk.

“Saya tak ada Facebook, akaun akaun yang menggunakan nama Ryan Bakery di Facebook itu bukan saya dan saya pun tidak tahu siapa yang kendalikan.

“Bahaya sebenarnya jadi kena berhati-hati bila bercakap depan kamera. Saya okay sahaja cuma selepas ini kena cakap biar jelas supaya tidak timbul salah faham,” jelasnya.

Terdahulu, Ryan dikecam netizen kerana sebutan yang digunakan terhadap anaknya telah menimbulkan salah faham netizen.

Ryan bagaimanapun menafikan dakwaan netizen itu dan menyatakan sebutan yang digunakan itu adalah menggunakan loghat Perak.

#Gila #Ryan Bakery #Ryan Ezra #Loghat Perak
;