Laman Utama
"Itu Tak Pernah Diajar Oleh Ibu Bapa Kami" - Sissy Priscillia & Vanesha Prescilla Tak Bersaing Adik Beradik!
Dua pelakon terkenal Indonesia yang juga adik beradik, Sissy Priscillia dan Vanesha Prescilla akui tidak bersaing sesama sendiri walaupun menceburkan diri dalam bidang sama.
Malah menurut Sissy, 37, yang lebih senior dan muncul dalam filem Ada Apa Dengan Cinta sebelum ini, dia berbangga melihat Vanesha yang mempunyai ramai peminat di pelbagai negara.
"Saya memang tak mahu bersaing dengan adik saya, perkara sebegitu juga tidak pernah diajar oleh ibu bapa kami.
"Malahan sekarang, saya sangat bangga melihat adik saya mempunyai ramai peminat dan meneruskan legasi saya dalam bidang seni.
"Dia diminati ramai, bukan sahaja di Indonesia, malah negara-negara luar juga, saya amat berbangga, jauh sekali rasa disaingi," katanya.
Sissy berkata demikian dalam sesi temubual pelakon filem Backstage secara virtual pada Rabu.
Filem tersebut diarahkan oleh Guntur Soeharjanto dan diterbitkan oleh Paragon Pictures dengan kerjasama Ideosource Entertainment, Endeavor Content, NFC Indonesia dan Astro Shaw.
Sissy menambah, dia jugalah yang menyaran serta mengajak Vanesha untuk berlakon bersamanya dalam filem Backstage.
"Kalau saya mahu bersaing dengan adik saya, buat apa saya ajak dia berlakon bersama saya dalam filem ini, ketika itu dia masih baru dan belum berlakon filem lagi," katanya lagi.
Sementara Vanesha, 23, akui gembira menjalani kehidupan sebagai seorang pelakon meskipun itu bukanlah kerjaya yang diidamkan sejak kecil.
"Sejak kecil, saya sebenarnya mahu jadi model tapi ternyata jalannya berbeza.
"Saya fikir, kenapa tidak saya cuba sahaja jadi pelakon, sekarang saya gembira jalani semua ini," ujarnya.
Filem Backstage mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia bermula hari ini. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikannya!
Must-Watch Video