Cef selebriti terkenal, Datuk Redzuwan atau lebih dikenali dengan panggilan Chef Wan tampil menegur usahawan terkenal Datuk Seri Aliff Syukri selepas namanya disebut oleh pelakon Sharnaaz Ahmad ketika menghasilkan video review makanan, Sup Jolo.

Menurut Chef Wan, adalah lebih baik Aliff mendapatkan individu yang pakar dalam bisnes makanan bagi mengelakkan daripada kerugian berlaku.

"Hendak berniaga makanan perlu terima komen positif dan negatif. Itulah orang nak berniaga makanan kau pun nak juga jual makanan. Bukan tak boleh tetapi kena berhati-hati.

"Jika tak pandai masak, kena pergi belajar memasak betul-betul. Kalau tak mahu, sebagai usahawan dan jutawan yang pakai jam tangan berlian, lebih baik dia labur duit kepada orang yang pakar bab bisnes makanan untuk bantu bisnes dia.

"Citarasa kita tak sama dengan orang lain. Jadi, kalau buat cara yang tak betul serta syok sendiri, boleh rugi perniagaan kita dan duit tu lebih baik humbankan sahaja ke dalam longkang jadikan sampah sarap," tulisnya di Instagram (IG).

A post shared by chef wan (@_chefwan58)


Katanya lagi, biarpun Sup Jolo ini tidak seperti yang digambarkan namun akan ada peminat setia membeli produk keluaran jenama Aliff.

"Bertentangan dengan itu, ini juga boleh menjadi gimiknya untuk memberi kesedaran mengenai produk ini. Kutuk punya kutuk tiba-tiba ramai pulak orang nak mencubanya pula!

"Kaya raya si Aliff tu lagi. Tambah lagi satu jam di tangan itu! Siapalah kita untuk kritik. Scam atau tidak Sup Jolo ini, peminat Aliff Syukri akan tetap setia menyokong setiap produk keluaran jenamanya.

"Kepada Aliff dan Sharnaaz janganlah marah saya. Aliff pun, macam-macam hendak dibuatnya," katanya lagi.

Sebelum ini, Sharnaaz menerusi saluran Youtube telah mencuba dan merasa Sup Jolo Aliff namun bengang dengan rasa makanan tersebut.

Kata Sharnaaz, Chef Wan akan terkejut dengan harga RM16.90 yang dijual kerana langsung tidak berbaloi.