Laman Utama
Izara Aishah Mahu Fokus Berlakon Filem
Nampaknya, pelakon Izara Aishah telah membulatkan hatinya untuk memberi fokus pada tawaran lakonan filem sahaja selepas ini berbanding dengan drama atau nakshah di layar kaca.
Menurut Izra, hal tersebut diputuskan selepas berasa kecewa dengan stesen televisyen yang dirasakan terlalu banyak mainan politik.
“TV banyak sangat politik. Contohnya dari segi pemilihan pelakon, bayaran dan cara mereka bekerja. Jujurnya, saya rasa tak boleh. Tetapi kalau filem saya tiada masalah.
Kredit foto: Instagram Izara Aishah
“Ada yang bertanya, adakah saya sudah serik. Tidak, saya tidak serik cuma saya berasa sedikit kecewa. Terutama menerusi cara tawaran diberi, apa yang diminta… saya tidak bersetuju. Enough is enough,” katanya kepada Gempak.
Izara berkata demikian ketika ditemui pada majlis pratonton filem dokumentari Siti: Are You Ready? yang berlangsung di ibu kota baru-baru ini.
Dalam pada itu, Izara turut mengakui yang kebanyakan ciapan yang dihantar menerusi akaun Twitternya adalah ditujukan buat stesen televisyen.
Kongsi Izara, dia tak kisah jika ciapan-ciapannya sebelum ini boleh menjejaskan kariernya sebagai pelakon pada masa akan datang.
“Jika dilihat pada karier saya sekarang, alhamdulillah, rezeki saya semakin luas. Kalau ia memberi kesan kepada karier saya, terpulanglah,” ungkapnya.
Izara juga turut berkongsi yang dia berasa sedikit janggal untuk kembali berlakon dan beraksi di hadapan kamera selepas berehat selama dua tahun sejak melahirkan anak.
Kongsi Izara, jika dia menerima sebarang tawaran berlakon, dia akan mengikut kelas lakonan bagi meningkatkan mutu lakonannya.