Pelakon Izreen Azminda memberitahu tidak mahu menjadi punca mencetus perbalahan sekiranya membuka ruangan komen di laman sosial Instagram (IG).

Izreen Azminda berkata, perkara tersebut (membuka ruangan komen) akan mengundang dosan orang lain sekiranya mereka berterusan ‘bercakaran’ di media sosial.

Oleh itu katanya, Izreen Azminda kekal dengan keputusan untuk tidak membuka ruangan komen di IG bagi mengelak peminat berbalah.

“Bukan saya takut dicemuh, cuma saya tidak suka melihat pengikut berbalah sesama mereka di laman sosial. Jika saya membuka ruangan komen itu, saya diibaratkan seperti menjadi pencetus pergaduhan.

“Saya tidak perlukan pendapat orang luar dalam kehidupan. Cukup suami dan keluarga ada di sisi ketika saya memerlukan mereka.

“Apabila ramai yang memberikan pendapat, ia bukan menjadi lebih baik, sebaliknya menyemarakkan lagi api yang sedang membahang. Tidak perlu buat spekulasi mengenai kehidupan orang lain,” katanya kepada Berita Harian.

Izreen memberitahu ‘tsunami’ yang melanda hidup sejak dua tahun lalu juga banyak mengubah sikapnya.

“Banyak perkara yang saya belajar selepas berdepan ujian dalam hidup. Dahulu, saya panas baran dan tidak boleh membiarkan orang lain memperlekeh diri. Tetapi kini, saya menjadi lebih sabar.

“Saya biarkan sahaja orang luar menghukum dan tidak lagi mempertahankan diri. Ujian itu juga sebenarnya membuka mata saya mengenai harga kejujuran dan persahabatan,” katanya.

Tambah Izreen lagi, biarpun hatinya terhiris apabila segelintir warganet mendoakan perkara buruk berlaku dalam kehidupannya, dia reda melaluinya.

“Kesabaran saya itu terjawab apabila menerima mesej peribadi daripada pihak tertentu yang meminta maaf. Segala cacian dan makian terhadap saya dahulu akhirnya memakan diri mereka.

“Saya akui, ada kalanya saya takut membaca setiap kecaman yang diluahkan membuta tuli di laman sosial. Jangan kerana terlalu mengikut perasaan, segala cemuhan itu akhirnya nanti memakan diri,” katanya.

Sumber: Berita Harian