HIBURAN
Izzue Islam Ada Sebab Lewat Lancar Lagu Raya - “Bukan Fasal Isu Hormat Bulan Ramadan Tapi... "
Penyanyi dan pengacara, Izzue Islam berkongsi sebab di sebalik kelewatan pelancaran lagu rayanya tahun ini.
Izzue atau nama sebenarnya, Muhammad Izzul Islam Mazlan, 34, berkata kelewatan melancarkan lagu rayanya bukan disebabkan isu tidak menghormati Ramadan, sebaliknya kekangan masa yang membuatkan pelancarannya sedikit tertunda.
“Kalau diikutkan, bukanlah disebabkan oleh isu pelancaran lagu raya tahun ini, tetapi lebih kepada kekangan masa saya sendiri,.
“Kalau dapat rilis awal pun tak ada masalah, sebab orang boleh ambil vibe itu,” katanya kepada Gempak.
Izzue berkata demikian ketika menghadiri majlis iftar bersama Izzue Islam di restoran Nasi Padangs, Seksyen 13, Shah Alam, Selangor baru baru ini.
Tambahnya, dia hanya sempat merakam lagu raya tersebut selepas pulang dari menunaikan umrah pada awal Ramadan sebelum berangkat ke Singapura atas urusan kerja.
“Saya pula merakam lagu ini selepas balik dari umrah pada bulan puasa.
“Selepas pulang, saya ambil sedikit masa untuk menyiapkan lagu raya saya sebelum terbang ke Singapura untuk mempromosikan produk saya di sana,” jelasnya.
Tiada kerisauan keluarkan lagu raya
Walaupun lagu rayanya dikeluarkan sedikit lewat namun, bekas ahli kumpulan Forteen itu tetap gembira dapat melihat ramai artis tampil dengan lagu raya berkonsep moden.
Oleh itu, Izzue juga terinspirasi untuk keluarkan lagu raya pada tahun ini sama seperti selebriti lain.
“Saya seronok sebenarnya sebab ramai yang keluarkan lagu raya yang modern dan segalanya.
“Jadi, saya pun berfikir untuk menjadi salah seorang selebriti yang keluarkan lagu raya tahun ini juga,” kongsinya.