HIBURAN
Jaa Suzuran Doakan Kes Abang & Eda Ezrin Selesai - “Saya Harap Mereka Dapat Mulakan Hidup Baru”
Pelakon Jaa Suzuran berharap kes abang dan kakak iparnya yang juga penyanyi Eda Ezrin terbabit dalam kes membabitkan dadah di Thailand dapat diselesaikan dalam masa terdekat.
Jaa atau Mohammad Faizal Ahmad, 31, berkata, dia dan ahli keluarga hanya mampu mendoakan yang terbaik mengenai keputusan dijangka bebas dari penjara.
“Harapan saya kes ini dapat diselesaikan secepat mungkin. Saya harap mereka juga dapat mulakan hidup baharu.
“Jika saya tanya keluarga saya pun mereka hanya mahu yang terbaik. Doakan yang terbaik.
“Raya tempoh hari ada beberapa ahli keluarga pergi melawat, Alhamdulillah mereka sihat,” katanya kepada Gempak.
Jaa ditemui pada majlis sambutan Terbaek Raya mStar di The Agam, Kuala Lumpur, pada Rabu.
Media sebelum ini melaporkan Eda Ezrin yang juga penyanyi lagu Bea Sobar Bea bersama suami dan empat lagi rakan dijangka bebas dari Penjara Wilayah Narathiwat pada 7 Mei ini.
Pada 6 Mac lalu, mahkamah yang bersidang selama tiga hari iaitu 11, 13 dan 14 Februari membebaskan Eda Ezrin; suaminya, Mohd Affendi Ahmad, 35; serta rakan mereka, Eridieka Mohd Noor, 33; Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; dan Zuhaira Nasrin, 26, daripada tuduhan secara bersama memiliki untuk menjual 6,059 biji pil methamphetamine.
Dalam perkembangan lain, Jaa turut berkongsi dia akan menganjurkan perlawanan sukan tempur Fury Championship yang dijadual berlangsung pada 2 Mei ini.
“Saya akan anjurkan perlawanan Fury Championship pada Jumaat ini yang membabitkan selebriti Hun Haqeem dan Ikmal Amry untuk berentap di gelanggang.
“Dalam perlawanan tersebut turut melibatkan pempengaruh, selebriti, pancabar amatur dan petarung professional juga ada.
“Saya juga memang ada kemahiran bermain sukan Muay Thai dan saya guna gelaran Jaa Besi Paip,” kongsinya.
#Penyanyi
#Penjara
#Thailand
#Abang
#Ditahan
#Jaa Suzuran
#Dibebaskan
#Keputusan
#Kakak Ipar
#harapan
#Eda Ezrin