Keluarga Kardashians mungkin menjadi sensasi dunia media sosial dan masyhur selepas program realiti televisyen, Keeping Up with the Kardashians yang mula ditayangkan sejak tahun 2007.

Sejak itu hampir keseluruhan anggota keluarga tersebut bermula daripada ibunya, Kris Jenner sehingga adik-beradik Kardashians seperti Kim, Kylie, Kendall dan Kourtney menjadi sangat popular.

Namun ternyata di sebalik populariti yang diperoleh keluarga ini, masih ada yang tidak tahu tentang kewujudan mereka.

Dan individu tersebut adalah pesohor dunia seni yang sangat disegani iaitu Jackie Chan.

Chan menerusi sebuah wawancara mengaku tidak mengenali Kardashians selepas dua orang hos wanita melontarkan soalan kepadanya mengenai keluarga tersebut.

Menerusi sedutan video pendek yang dilihat dari Reddit, bintang Hong Kong itu kelihatan sangat terkejut sewaktu disoal tentang Kardashians.

“Berikan nama Kardashians (keluarga) yang anda gemari,”?tanya seorang hos.

Dengan muka terkejut dan bingung, aktor yang terkenal dengan kehandalan melakukan babak aksi itu bertanya semula.

“Kardashians?”katanya sambil disambut deraian tawa oleh kedua-dua hos program tersebut.

Pertanyaannya disambut dengan: “Kardashians. Anda tidak kenal Kardashians?”

“Tidak, saya tidak tahu. Adakah itu bahasa Inggeris? Saya tidak pernah mendengarnya sebelum ini,” jawab Chan jujur.