13 penyanyi tersohor bakal berentap di dalam program realiti TV popular, Gegar Vaganza untuk musim ke-9 (GV9).

Mereka ialah Jaclyn Victor, Shila Amzah, Bob Yusof, Tomok, Asheed Def Gab C, Dina Nadzir, Haida, Pat Candy, Roy Kapilla, Tom, Hazrul Nizam dan Fuad Rahman dari Singapura serta peserta berkumpulan, VE.

Sementara itu, Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, musim baharu GV terus berusaha menampilkan peserta-peserta yang memiliki bakat luar biasa sebagai meneruskan kegemilangan musim-musim sebelum ini.

Menurut Raqim, Astro sangat berbangga kerana dapat menarik perhatian nama-nama besar penyanyi tanah air untuk bertanding di sebuah platform yang sudah terbukti kemasyhurannya.

“Ternyata GV menunjukkan betapa relevannya rancangan ini bukan sahaja untuk peminat tetapi juga artis-artis sedia ada. GV masih jadi platform untuk barisan penyanyi mengukir nama mereka semula,” kata Raqim dalam sidang media.

Sementara itu, pada pengumuman penerbitan GV9 oleh Astro sebentar tadi juga, program berkenaan juga akan mengekalkan tiga pengkritik masyhur yang terdiri daripada maestro tersohor, Datuk Ramli MS; biduanita dari Indonesia Hetty Koes Endang dan pensyarah serta penghibur Datuk Syafinaz Selamat.

GV9 yang akan mula bersiaran 18 September ini dari Auditorium MBSA Shah Alam menampilkan Nabil Ahmad sebagai pengacara.

Juara akan membawa pulang wang tunai sebanyak RM100, 000, naib juara pula akan meraih RM50, 000, tempat ketiga akan menerima RM30, 000, tempat keempat, tempat kelima dan tempat keenam masing-masing akan menerima RM20,000, RM15,000 dan RM10,000.

Penerbitan ‘GV9’ turut disokong oleh Farm Fresh yang hadir selaku Penaja Utama dengan kerjasama Digi selaku Telco Rasmi. Manakala Adabi dan CUCKOO turut menghulurkan sokongan selaku Penaja Bersama. Sidang media ‘GV9’ turut dibawakan dari Menara Kuala Lumpur.

Selain itu, penganjuran ‘GV9’ juga dimeriahkan dengan kolaborasi bersama Astro GO, Gempak dan Ria X selaku Rakan Digital serta SINAR sebagai Rakan Radio Rasmi dan disokong oleh Gegar untuk musim ini.

Eksklusif untuk pelanggan setia Astro, mereka berpeluang untuk menyaksikan ‘GV9’ secara LIVE dengan menjawab tiga soalan mudah di astro.com.my/gv9. 10 pasang tiket sedia untuk dimenangi setiap minggu.