Pelakon British, Florence Pugh mendedahkan dia berasa cukup teruja, tak percaya dan berbangga apabila beraksi pertama kali di dalam Marvel Cinematic Universe (MCU) sebagai Yelena di dalam filem Black Widow.

Menurut Pugh, 26, dapat berlakon sebagai adik kepada aktres hebat Scarlett Johansson memberikan pengalaman yang berharga.

“Saya masih tak percaya dapat berlakon di dalam filem ini di samping Scarlett Johansson dan diarahkan oleh Cate Shorland. Dapat membawa watak adik kepada Natasha Romanoff (Scarlett) iaitu Yelena yang digemari ramai, ia satu karakter penting dalam filem Black Widow ini.

“Saya berbangga dapat menjadi sebahagian daripada watak adiwira Marvel Cinematic Universe (MCU) dan kisah Natasha serta Yelena ini boleh memberi penceritaan baru kepada peminat.

“Saya bersyukur Cate buka ruang untuk saya bebas memberi warna kepada karakter ini. Saya memang mahukan Yelena ini menjadi seorang wanita yang kuat, handal berlawan dan pada masa yang sama seorang yang pelik,” kata Pugh kepada Gempak.

Florence Pugh ditemui ketika sesi temubual barisan pelakon Black Widow bersama wakil media Asia Pasifik secara maya pada minggu lalu.

Tambah Pugh, dia cuba sedaya upaya untuk menjayakan watak Yelena, sekali gus melakar namanya sebagai salah seorang adiwira wanita dalam keluarga MCU.

Berkesempatan menjadi yang pertama menonton filem Black Widow, Gempak cukup tertarik dengan watak Yelena, kehandalannya berlawan serta sikapnya yang bersahaja.

“Ada satu pergerakan berlawan yang ditunjukkan di dalam trailer, memerlukan saya terjun ke arah Scarlett, saya terhiris tumitnya dengan pisau.

“Malah ada beberapa babak stunt yang saya buat jadi pertama kalinya tetapi kemudian tak berjaya, saya rasa marah pada diri sendiri. Tapi Scarlett ada menasihati saya bahawa jangan terlalu risaukan perkara itu, kalau menjadi, fantastik dan jika tidak, tak mengapa.

“Dan jangan lupa, seronok macam mana pun kita berlakon dalam filem ini, ada atlet profesional dan pelakon lagak ngeri yang dibayar untuk melakukan stunt bahaya itu dengan sempurna.

“Mereka mencari pendapatan dengan melakonkan babak aksi kita. Nasihat Scarlett itu buatkan saya tenang dan saya serahkan aksi-aksi bahaya itu pada mereka yang pakar,” jelasnya lagi.

Selain Pugh dan Johansson, Black Widow dibintangi pelakon hebat Rachel Weisz dan David Harbour.



Black Widow mengisahkan Natasha membesar dipenuhi memori hitam dan konspiras. Walaupun sudah dewasa, dia terus dihantui oleh mereka yang berniat jahat. Tanpa rasa takut dan mengalah, Natasha perlu berdepan dengan sejarah keluarganya.

Black Widow boleh ditonton di pawagam bermula 23 September 2021.