Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Jadi Artis Rakaman Di Usia 10 Tahun, Anak Krisdayanti Digelar The Next Diva

Maliah Surip
18/08/2022 10:50 MYT
Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi, itu perumpamaan yang tepat buat Kris Dayanti dan anak perempuan hasil perkahwinannya dengan Raul Lemos.

Amora Lemos, baru berusia 10 tahun, namun bakat nyanyiannya sudah cukup terkenal di Indonesia.

Lantaran bakat yang sangat memikat itu dan tanpa pengaruh dari ibunya yang telah menjadi salah satu permata muzik republik tersebut, Amora kini rasmi menjadi artis rakaman.

Khabar tersebut disampaikan oleh pelantun Mencintaimuitu menerusi akaun Instagram miliknya.

Krisdayanti menyebut Amora kini telah menjadi ‘milik’ syarikat rakaman Sony Music.

Malah bintang yang juga ahli politik itu turut memuat naik video dirinya dan suami menemani Amora mematerai tanda tangan kontrak bersama label tersebut.

"Petang ini (15 Ogos 2022) menjadi hari yang menarik. Bagaimana Amora mengidolakan penyanyi dunia @adele dan @madisonbeer dari label @sonymusic," tulis Krisdayanti di Instagram @krisdayantilemos lapor Pikiran Rakyat.

Nenek kepada seorang cucu itu kemudian menegaskan, masuknya Amora ke dunia hiburan bukan atas paksaan dari sesiapa.

“Ia adalah keputusan Amora sendiri untuk menjadi penyanyi profesional,” kata Krisdayanti.

Pengumuman tersebut disambut baik oleh netizen sehingga ada yang menggelarkan Amora sebagai The Next Diva seperti gelaran yang diberikan kepada Krisdayanti kerana pencapaiannya dalam dunia hiburan.

Ironi, selain Amora, Krisdayanti juga mempunyai seorang anak perempuan hasil perkahwinan terdahulu dengan Anang Hermansyah iaitu Aurel Hermansyah yang merupakan seorang pelakon dan penyanyi.

#Penyanyi #Anak #Krisdayanti #Indonesia #Raul Lemos #Diva #Amora Lemos
;